FRANK Lampard berkata, kalahan 3-2 Chelsea kepada pasukan yang diancam penyingkiran West Ham semalam adalah tanda betapa banyak pekerjaan yang masih harus dia lakukan untuk menjadikan Blues sekali lagi pencabar sebenar gelaran Liga Perdana Inggeri.
Chelsea berada di landasan untuk melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana ketika penalti Willian meletakkan mereka di hadapan dalam separuh pertama di Stadium London.
Tetapi pasukan pelawat tidak belajar daripada penolakan yang mereka terima daripada VAR ketika Tomas Soucek menyaksikan gol beliau dibatalkan kerana ofsaid ketika pemain dari Republik Czech itu melonjak tinggi untuk menyamakan kedudukan hasil sepakan sudut.
Michail Antonio kemudian meletakkan West Ham di depan pada awal babak kedua sebelum sepakan percuma Willian membolehkan Chelsea menyamakan kedudukan menjadi 2-2.
Pasukan Lampard kemudian kelihatan lebih cenderung untuk meraih ketiga-tiga mata di peringkat akhir perlawanan, tetapi terperangkap dalam serangan balas ketika Andriy Yarmolenko menjaringkan gol kemenangan utnuk memberi peluang kepada West Ham mengelakkan diri mereka daripada tersingkir.
Kekalahan liga ke-10 musim ini menyebabkan Chelsea hanya dua mata di atas Manchester United dan Wolves dalam perlumbaan untuk mendapat empat tempat teratas dan layak ke Liga Juara-Juara UEFA musim depan.
“Saya tidak akan mengatakan ini adalah kisah kami musim ini kerana ini adalah musim yang baik, tetapi ada begitu banyak saat seperti ini,” kata Lampard, yang pasukannya telah memenangi ketiga-tiga perlawanan sebelumnya sejak bola sepak Inggeris kembali daripada ‘lockdown’ tiga bulan kerana Covis-19.
“Pemain pada saat-saat itu harus menunjukkan mentaliti tambahan untuk mengesahkan perlawanan seperti ini ketika anda memiliki banyak penguasaan.”
Selepas kemenangan 2-1 ke atas Manchester City minggu lalu yang mengesahkan gelaran untuk Liverpool dan pembelian Timo Werner dan Hakim Ziyech, Chelsea telah disebut-sebut sebagai pencabar gelaran kepada City dan Liverpool musim depan.
Namun, Lampard yakin pasukannya harus jauh lebih konsisten daripada apa yang mereka tunjukkan dalam musim pertamanya sebagai bos Blues.
“Saya telah melihat kami bermain permainan hebat, tetapi saya juga melihat peluang untuk merapatkan jurang atau naik ke tangga ketiga dibazirkan begitu sahaja. Itulah perbezaan pada saat ini dan menunjukkan berapa banyak pekerjaan yang harus kita lakukan.”
Hanya kemenangan kedua dalam 12 perlawanan membawa anak buah David Moyes ke tangga ke-16, tiga mata di atas zon penyingkiran. – AFP