KUCHING: Seni bukan sekadar hobi bagi kanak-kanak autistik, tetapi juga satu bentuk terapi yang membantu mereka mengekspresikan emosi dan mengembangkan bakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, terapi seni sering digunakan di pusat intervensi awal bagi membantu kanak-kanak autistik berkomunikasi dan memahami emosi mereka.
“Melalui seni, mereka dapat menzahirkan apa yang ada dalam fikiran dan perasaan mereka. Ia juga memberi ketenangan kepada jiwa mereka,” katanya selepas merasmikan Pameran Seni Autisme di The Spring Shopping Mall Kuching, hari ini.
Beliau turut berkongsi kisah seorang kanak-kanak autistik di Dalat yang mampu melukis bangunan dengan sangat terperinci hanya selepas melihatnya sekali.
Menurutnya, bakat seperti ini perlu dikenal pasti dan dibimbing agar dapat dikembangkan ke peringkat lebih tinggi.
Selain manfaat terapi, pameran seni juga berperanan mengubah persepsi masyarakat terhadap autisme. Kesedaran dalam kalangan ibu bapa semakin meningkat, manakala stigma terhadap kanak-kanak autistik kian berkurangan.
“Kalau dahulu, ada ibu bapa yang malu membawa anak mereka ke pusat intervensi kerana takut dipandang serong.
“Kini, kita lihat lebih ramai ibu bapa muda menghantar anak mereka seawal usia satu atau dua tahun untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Walaupun stigma masih wujud, beliau yakin masyarakat semakin memahami bahawa kanak-kanak autistik bukan nakal atau tidak berdisiplin, tetapi memerlukan pendekatan yang berbeza dalam pembelajaran dan kehidupan seharian.
Pameran ini turut menampilkan Ian Wong, 31, seorang artis autistik yang mempamerkan karyanya.
“Saya suka melukis dan saya rasa gembira apabila berkarya,” katanya ketika ditemui.
Ian, yang menggemari warna merah dan biru, menjelaskan bahawa subjek kegemarannya dalam seni ialah kucing kerana ia haiwan kesayangannya.
Ibunya, Presiden Persatuan Autisme Kuching (KAA), Dr. Catherine Chen Jean Ai, berkata pameran ini bukan sahaja bertujuan mengumpul dana, tetapi juga meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kebolehan kreatif golongan autistik.
“Kami sangat gembira melihat setiap kali kami mengadakan pameran, masyarakat akan datang memberi sokongan, bukan sahaja individu tetapi juga penaja korporat,” katanya.
Beliau turut memuji kerjasama The Spring Shopping Mall dalam menyediakan lokasi strategik untuk menarik lebih ramai pengunjung melihat dan membeli hasil seni pelajar KAA.
Tambahnya, tiada kriteria khusus dalam pemilihan karya kerana setiap artis memiliki gaya tersendiri, dan pihaknya berusaha menampilkan sebanyak mungkin hasil seni mereka.
Pameran Seni Autisme anjuran KAA ini diadakan bagi mengetengahkan bakat individu autistik serta menggalakkan interaksi positif dengan masyarakat.
Oleh Amanda L.