JOHOR BAHRU: Kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi memperkasa projek pengurusan perosak bersepadu (IPM) di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan makanan di negara ini dan juga untuk eksport, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Beliau berkata, peruntukan itu adalah peningkatan berbanding RM2.5 juta yang diperuntukkan dalam RMK-11.
“IPM harus dijadikan amalan bagi penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran di negara kita, seiring hasrat kita menjadikan negara sebagai pengeksport buah dan sayuran secara premium yang mempunyai sijil myGAP,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan merasmikan ruang pameran IPM di Taman Pertanian Johor, Kong Kong, Pasir Gudang, dekat sini semalam.
Terdahulu dalam ucapannya, Kiandee berkata Malaysia menerima 800 notifikasi daripada Singapura, Jepun, Jerman dan Taiwan setiap tahun berkaitan sisa baki racun perosak melebihi paras dibenarkan ke atas produk makanan yang dieksport ke negara-negara berkenaan, sekali gus turut memberi gambaran negatif tentang jaminan keselamatan dan kualiti hasil pertanian Malaysia.
Sehubungan itu katanya, promosi sistem IPM akan diperhebat bagi memastikan jumlah notifikasi produk pertanian Malaysia dikurangkan selain meningkatkan kualiti dan jaminan keselamatan untuk keperluan eksport.
“Sebenarnya, impak utama yang disasarkan kerajaan menerusi sistem IPM ini ialah rakyat dapat menikmati hasil pertanian di pasaran tempatan yang selamat untuk dimakan dan berkualiti kerana bebas daripada pencemaran racun berbahaya.
“Makanan selamat juga adalah satu daripada elemen penting sebagaimana yang ditetapkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) untuk menilai kedudukan sekuriti makanan dalam sesebuah negara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan telah membelanjakan lebih RM5 juta dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini bagi aktiviti kawalan dan pemusnahan makhluk perosak di seluruh negara.
Menurutnya ini kerana tanaman di Malaysia diserang pelbagai jenis perosak invasif antaranya kumbang merah palma pada tanaman kelapa, ‘bacterial panicle blight’ terhadap tanaman padi dan ‘fall armyworm’ pada tanaman jagung.
“Tiga perosak ini membawa kerugian hampir RM10 bilion kepada bukan sahaja hasil tanaman tetapi juga perdagangan,�katanya. – Bernama