
Abang Johari ketika menunjukkan penemuan baharu di Sarawak melibatkan dua spesies kumbang di Taman Negara Lambir dan satu spesies katak di Taman Negara Kubah.
KOTA SENTOSA: Kerajaan Sarawak akan menerapkan teknologi moden baharu berbentuk peranti kapal selam yang mampu menyelam hingga 300 meter ke dasar laut bagi memperkukuh kajian mengenai ikan terubuk.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peranti canggih ini didapati mampu merakam data penting dalam air, sekali gus memberikan saintis tempatan pemahaman yang lebih mendalam tentang habitat spesies tersebut.
“Kajian mengenai ikan terubuk sebelum ini dijalankan di Pulau Seduku dengan bantuan New Zealand, namun keputusan yang kukuh masih belum diperoleh.
“Kita berharap dengan teknologi baharu ini, kajian lebih lanjut dapat dijalankan untuk meneroka kaedah pembiakan moden bagi spesies ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Wisma Lestari di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menekankan kepentingan kajian terhadap ikan terubuk kerana terdapat sedikit perbezaan antara spesies di Batang Lupar dan Batang Lassa, malah ada teori yang mengaitkannya dengan spesies di Bangladesh.
“Dengan peranti ini, kita mungkin dapat menjalankan penyelidikan lebih mendalam mengenai pembiakan ikan terubuk untuk mengelakkan pengurangan populasi dan kepupusannya,” katanya.
Pada perkembangan lain, satu penemuan baharu di Sarawak melibatkan dua spesies kumbang di Taman Negara Lambir dan satu spesies katak di Taman Negara Kubah.
Kajian ini dilakukan oleh penyelidik dari Jabatan Perhutanan Sarawak bersama penyelidik dari Jepun, yang akan mengumumkan nama spesies tersebut dalam masa terdekat.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali; Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap, serta Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abang Arabi Abang Aimran.
Oleh Mohd Neenatul Aizal