


KOTA SENTOSA: Khazanah unik milik Sarawak perlu lindungi dan elak daripada dieksploitasi oleh pihak luar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, baru-baru ini ada penemuan bernilai tinggi di Sarawak, termasuk sejenis daun yang dianggarkan bernilai AS$320 (RM1,520) sehelai di pasaran antarabangsa.
“Saya telah diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Biodiversiti Sarawak mengenai penemuan ini.
“Tanaman ini mempunyai potensi besar jika dikembangkan menggunakan kaedah moden.
“Penemuan itu menunjukkan betapa pentingnya Sarawak menjaga dan memelihara sumber semula jadi daripada dieksploitasi oleh pihak luar.
“SFC (Perbadanan Perhutanan Sarawak ) akan memainkan peranan penting dalam memastikan penyelidikan serta usaha pemuliharaan terus diperkasakan melalui kerjasama dengan agensi-agensi lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan bangunan Wisma Lestari, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata Sarawak terus memperkukuh usaha pemuliharaan alam sekitar dengan perasmian Wisma Lestari, pejabat baharu SFC itu yang bakal menjadi pusat penyelidikan dan pemeliharaan khazanah hutan negeri.
Katanya, bangunan ini bukan sekadar menempatkan warga SFC tetapi berperanan sebagai pusat utama dalam usaha memelihara taman negara, hidupan liar, dan kawasan perlindungan alam semula jadi.
“Selain itu, kawasan di Kota Sentosa ini akan diwartakan sebagai rizab semula jadi dan berfungsi sebagai pusat penyelidikan,” katanya.
Abang Johari berkata Wisma Lestari turut dilengkapi makmal forensik untuk penyelidikan saintifik dan pemuliharaan biodiversiti, sekali gus menjadikannya pusat penyelidikan utama bagi khazanah alam Sarawak.
Terdahulu, Abang Johari menyaksikan pertukaran dua dokumen Memorandum Persefahaman (MoU).
MoU pertama dimeterai antara Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) dan SFC bagi mewujudkan kerangka kerjasama penyelidikan serta pembangunan bakat dalam bidang kepentingan bersama.
Selain itu, pertukaran dokumen MoU kedua melibatkan SFC dan Universiti Malaya (UM).
MoU ini bertujuan untuk memperkukuh, mempromosi dan mengembangkan kerjasama akademik serta penyelidikan berdasarkan prinsip kesaksamaan dan manfaat bersama.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga SFC yang kini mempunyai kemudahan lebih lengkap bagi melaksanakan tugas penyelidikan dan pemuliharaan alam sekitar dengan lebih efektif.
“Saya ucap tahniah kepada warga SFC kerana dengan ada Wisma Lestari ini, mereka kini memiliki ruang yang lebih baik untuk menjalankan penyelidikan serta menguruskan khazanah hutan negeri,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal