
KUCHING: Tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini akibat cuaca buruk telah menyebabkan operasi Loji Pembotolan Gas Petroleum Cecair (LPG) PUSAKA Integrated Resources Sdn Bhd di Bintulu terhenti.
Bagi memastikan bekalan mencukupi, PETROSNiaga telah mengalihkan pengedaran silinder LPG dari Kuching, dan Teluk Sepanggar, Sabah.
Terminal Minyak Bebas (IOT) Senari di Kuching telah meningkatkan kapasiti pengisian LPG ke tahap sebelum gangguan, mencecah sehingga 29,000 silinder sehari bagi keperluan seluruh Sarawak.
Dengan anggaran 1.8 juta silinder LPG beredar di pasaran, bekalan sedia ada mencukupi untuk memenuhi permintaan keseluruhan negeri ini.
Namun, kawasan seperti Miri dan utara Sarawak mengalami pemulihan bekalan yang lebih perlahan disebabkan jarak pengangkutan yang jauh serta jumlah lori yang terhad.
Bagi mengatasi cabaran ini, depot simpanan tambahan sedang dibangunkan di Bintulu dan Miri bagi mempercepatkan pengagihan bekalan.
Kemudahan baharu ini dijangka dapat mengurangkan kekangan logistik dan mempercepatkan penghantaran bekalan, dengan keadaan di Miri dijangka pulih dalam tempoh beberapa hari.
Selain itu, lebih banyak depot simpanan sementara akan dikenal pasti bagi kawasan yang menghadapi situasi serupa, bagi memastikan pengedaran bekalan LPG kembali normal dalam bulan ini.
Ini melibatkan silinder LPG bersubsidi untuk kegunaan domestik serta silinder LPG tidak bersubsidi bagi kegunaan komersial di seluruh Sarawak.
Walaupun berdepan cabaran logistik yang meningkat, harga LPG bersubsidi untuk kegunaan domestik kekal tidak berubah.
PETROSNiaga menanggung kos tambahan ini bagi mengelakkan beban kewangan kepada pengguna.
Harga LPG bersubsidi bagi isi rumah kekal pada kadar RM26.60 apabila diambil dari pengedar dan peniaga sah.
Sebarang kenaikan harga tidak sah atau caj tambahan boleh dilaporkan kepada Khidmat Pelanggan PETROSNiaga di talian 1300-88-2122 atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di 1-800-886-800 atau melalui WhatsApp di 019-8488000.