
Abang Johari pada sidang media selepas melancarkan program SKAS di Serian hari ini. Foto UKAS
SERIAN: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh sistem penyampaian bantuan sosial kepada rakyat dengan memanfaatkan teknologi kewangan digital menerusi aplikasi SPay Global, sebelum ini dikenali sebagai Sarawak Pay.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata penggunaan aplikasi ini membolehkan agihan bantuan dibuat dengan lebih cekap, telus dan mudah.
“Walaupun poket kosong, kerajaan tetap membantu. Muat turun SPay, tekan beberapa butang sahaja, dan bantuan sudah tersedia dalam aplikasi. Semua ini dibiayai oleh GPS (Gabungan Parti Sarawak),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan program Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) peringkat negeri di Pusat Persidangan Serian, di sini hari ini.
Abang Johari berkata, penggunaan SPay Global sebagai platform utama dalam pengagihan bantuan kewangan membolehkan rakyat menerima bantuan dengan segera tanpa perlu melalui prosedur yang rumit.
Selain itu, Sarawak ID turut digunakan bagi memastikan kelayakan penerima dapat ditentukan dengan lebih tepat, sekali gus mengurangkan risiko ketirisan dalam sistem penyampaian bantuan.
SKAS diperkenalkan sebagai langkah proaktif bagi membantu rakyat, khususnya golongan B40 dan M40, menghadapi peningkatan kos sara hidup. Melalui program ini, pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, gula, garam, teh, dan kopi akan diagihkan kepada mereka yang layak.
“Kita semua sedar bahawa kos sara hidup semakin meningkat, dan pendapatan sebahagian masyarakat mungkin tidak mencukupi untuk menjalani kehidupan yang lebih selesa.
“Justeru, kita memastikan rakyat mempunyai makanan asas mencukupi di atas meja,” katanya.
Abang Johari menambah bahawa pengurusan ekonomi negeri yang mampan membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin.
Dengan pelaksanaan SKAS dan penggunaan teknologi dalam sistem agihan bantuan, Sarawak terus menunjukkan kesungguhan dalam memastikan rakyatnya tidak tercicir dalam arus pembangunan ekonomi yang semakin mencabar.
Oleh Amanda L.