
KUCHING: Sarawak perlu diberikan autonomi penuh dalam menguruskan hasil minyak dan gasnya, memandangkan peranan besar yang dimainkan oleh negeri ini dalam industri petroleum negara.
Menurut Presiden Persatuan Kontraktor Petroleum Sarawak (SPECA) Datuk Rahman Lariwoo, Sarawak merupakan penyumbang utama kepada pengeluaran petroleum dan gas di Malaysia, dengan sebanyak 60 peratus daripada jumlah pengeluaran berasal dari negeri ini.
“Sarawak seharusnya diberi hak penuh untuk mengelola dan mengagihkan sendiri sumber ini kepada Kerajaan Persekutuan, bukan sebaliknya.
“Sejak pengenalan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974), Sarawak hanya menerima pulangan sebanyak lima peratus.
“Ini adalah jumlah yang tidak mencerminkan sumbangan besar negeri ini dalam sektor minyak dan gas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, Rahman turut mempersoalkan ketelusan Petroliam Nasional Berhad (Petronas), yang tidak pernah memberikan laporan terperinci mendedahkan keuntungan dan perbelanjaan tahunan mereka kepada Sarawak.
Dalam isu kepimpinan pula, Rahman menekankan bahawa Sarawak kekurangan perwakilan dalam kepimpinan Petronas.
“Walaupun negeri ini mempunyai ramai individu berkaliber dalam bidang petroleum, gas, dan pengurusan, sehingga kini tiada anak Sarawak yang pernah memimpin syarikat gergasi itu,” katanya.
Dalam pada itu, Rahman menyambut baik perubahan positif dalam hubungan Sarawak dengan Petronas sejak pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berharap ia dapat membawa perubahan yang lebih besar bagi kesejahteraan Sarawak.
Sementara itu, SPECA juga memberi penekanan terhadap pentingnya memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan dalam pembahagian kontrak di perairan Sarawak.
Menurut Rahman, langkah ini akan memastikan bahawa hasil daripada industri minyak dan gas dapat memberi manfaat secara langsung kepada rakyat negeri ini.
Rahman juga menegaskan bahawa Petros, sebagai syarikat petroleum milik Sarawak, mampu menguruskan sumber minyak dan gas negeri ini dengan lebih efektif tanpa bergantung kepada Petronas, sekiranya diberikan kebebasan dan autonomi yang sepatutnya.