
Barisan pucuk pimpinan tertinggi PBB
PETRA JAYA: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini meluluskan usul penting bagi memperkukuh struktur kepimpinan parti melalui penubuhan Majlis Yang DiPertua.
Usul tersebut diterima sebulat suara pada Perhimpunan Agung ke-16 PBB yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK).
Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, menjelaskan bahawa majlis ini akan berfungsi sebagai mekanisme baharu bagi mempercepatkan proses membuat keputusan dalam situasi mendesak.
“Majlis ini akan dianggotai oleh Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden Kanan, dan Setiausaha Agung.
“Tujuannya adalah untuk membolehkan perbincangan segera tanpa perlu menunggu mesyuaray Majlis Kerja Tertinggi (MKT), yang selalunya mengambil masa lebih lama untuk diadakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas penangguhan Perhimpunan Agung ke-16 PBB di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK), di sini hari ini.
Uggah turut merujuk kepada pengalaman ketika Barisan Nasional (BN) tewas dalam pilihan raya lalu, di mana keputusan untuk keluar BN dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memerlukan tindakan pantas.
Ketika itu, Premier Sarawak telah mengadakan perbincangan segera dengan beberapa pemimpin utama sebelum keputusan dimuktamadkan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Majlis Yang DiPertua bukanlah pengganti kepada MKT, sebaliknya berfungsi sebagai pelengkap kepada struktur sedia ada.
“Keputusan yang dibuat oleh Majlis Yang DiPertua masih perlu dibawa ke MKT untuk diperhalusi dan disahkan. Ini bukan soal kuasa, tetapi lebih kepada kecekapan dalam pengurusan parti,” tambahnya.
Beliau turut menyatakan bahawa dengan perkembangan pesat teknologi, kecerdasan buatan (AI), serta perubahan dalam landskap politik, mekanisme ini akan memastikan PBB sentiasa bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Setelah dimuktamadkan di peringkat MKT, usul ini akan dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk kelulusan rasmi.
Penubuhan Majlis Yang DiPertua menandakan satu langkah strategik dalam evolusi organisasi PBB, menjadikan parti itu lebih responsif dan efisien dalam membuat keputusan.
Oleh Amanda L.