SIBU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Sibu telah merampas sebanyak 532 unit kalkulator jenama Casio dalam operasi yang dijalankan bersama wakil cap dagangan pada Selasa lalu.
Ketua cawangan KPDNHEP Sibu, Kelyn Bolhassan berkata, suspek kes ini telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.
“Yang mana mempunyai dalam pemilikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barangan yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019,” jelasnya.
Katanya, Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019 adalah seseorang yang memakaikan dengan salah suatu cap dagangan berdaftar pada barang-barang atau perkhidmatan itu.
“Dia memakaikan cap dagangan atau tanda yang mungkin menyebabkan kesilapan bagi cap itu pada barang-barang atau perkhidmatan tanpa persetujuan tuan punya berdaftar itu.
“Dalam hal pemakaian pada barang-barang, barang-barang itu bukan barang-barang tulen tuan punya berdaftar atau pemegang lesen cap dagangan itu,” ujarnya.
Tegasnya, sebarang pelanggaran di bawah peruntukan Seksyen Akta 100 ini boleh dikenakan tindakan
“Individu boleh didenda oleh Mahkamah tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Manakala, bagi Syarikat/perbadanan boleh didenda oleh Mahkamah tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar,” ujarnya lagi.