
Uggah ketika ditemui media selepas penangguhan Perhimpunan Agung Ke-16 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
PETRA JAYA: Orang ramai diingatkan supaya berwaspada memandangkan musim monsun masih berlanjutan sehingga Mac dengan cuaca yang sukar diramal.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata mereka perlu berhati-hati meskipun keadaan cuaca ketika ini bertambah baik.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan menambah semula stok bantuan dan menggerakkan jentera bagi memastikan respons yang lebih pantas sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian ketika ditemui media selepas penangguhan Perhimpunan Agung ke-16 PBB di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK), hari ini.
Uggah berkata JPBN juga terus memantau tiga kejadian tanah runtuh yang masih aktif di negeri ini, sementara insiden lain telah diselesaikan sepenuhnya.
Semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga telah ditutup selepas keadaan kembali stabil.
Dalam usaha membantu mangsa yang terjejas, katanya program pemulihan sedang giat dijalankan untuk memberikan sokongan kepada mereka yang kehilangan rumah dan mengalami kerosakan infrastruktur seperti jalan raya.
“Bantuan tunai sebanyak RM1,000 akan disalurkan terus ke dalam akaun Ketua Isi Rumah (KIR) mengikut kaedah biasa yang telah ditetapkan,” katanya.
Di samping itu, kerajaan Sarawak sedang menjalankan projek perintis di kawasan Baram dengan melantik kontraktor tempatan bagi menyelenggara jalan-jalan yang rosak.
Pendekatan sedia ada dalam penyelenggaraan telah dikaji dan perlu ditambah baik untuk memastikan kerja pembaikan dilakukan secara lebih sistematik dan berkesan.
“Kita sedang mencari kaedah lebih efektif bagi memastikan penyelenggaraan jalan dapat dilakukan dengan lebih baik,” tambahnya.
Fokus utama kerajaan Sarawak kini katanya, adalah pembaikan jambatan yang rosak akibat bencana.
Sebanyak 24 jambatan telah disenaraikan dan dikategorikan mengikut tahap kerosakan untuk tindakan susulan.
“Kita berusaha mempercepatkan kerja pembaikan bagi mengelak kesulitan lebih besar apabila musim monsun tiba nanti. Ini adalah cabaran yang besar, tetapi kita akan terus berusaha mengatasinya dengan sebaik mungkin,” katanya.
Oleh Amanda L.