
KUCHING: Perubahan iklim yang mempengaruhi pola cuaca merupakan faktor yang mengakibatkan banjir besar di Bintulu baru-baru ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata perubahan iklim global yang mempengaruhi pola cuaca menyebabkan keadaan yang lebih ekstrim sama ada terlalu panas atau sejuk.
”Banjir merupakan bencana alam yang memberi impak besar kepada kehidupan seharian masyarakat terutama kesan sosial dan kesihatan dan tidak hanya menimpa Sarawak malah turut berlaku di seluruh dunia.
”Sarawak dianggarkan mempunyai purata hujan sekitar 3,000 milimeter (mm) setahun, tetapi baru-baru ini Bintulu menerima sebanyak 900mm hujan dalam sehari.
“Jumlah hujan yang luar biasa ini memberi impak yang besar kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan ’Climate Run 2025’, anjuran Institut Kimia Malaysia (IKM) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) di pekarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua masyarakat untuk lebih prihatin terhadap isu alam sekitar termasuk perubahan iklim dan bekerjasama dalam usaha memberi kesedaran menjaga alam sekitar.
Mengambil contoh pelaksanaan larian itu, Sim berkata meskipun ia dilihat sebagai tindakan yang ’kecil’, namun ia memberi impak positif kepada masyarakat di sekitar Kuching.
”Melalui acara seperti ini, kita menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan tindakan iklim yang mendesak, menggalakkan tabiat mampan dan memupuk komuniti yang kuat dan mementingkan alam sekitar.
”Perubahan kecil seperti mengurangkan sisa, menjimatkan tenaga dan menyokong tenaga boleh diperbaharui secara kolektif boleh membawa kepada impak yang ketara,” ujarnya.
Oleh Rynna Sha’erra