
SIBU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan melaksanakan kerja mendalamkan Sungai Seduan dan Sungai Antu dengan kos dianggarkan RM15 juta bagi meningkatkan sistem saliran dan mengurangkan risiko banjir di kawasan terjejas.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting berkata, projek tersebut dilihat sebagai langkah penting memandangkan 41 peratus kawasan perumahan di Sibu bergantung kepada Sungai Seduan bagi sistem saliran.
“Kali terakhir kerja mendalamkan Sungai Seduan dilakukan adalah pada 2011, bermakna ia sudah 15 tahun tidak dijalankan.
“Kami amat menghargai keputusan JPS untuk melaksanakan projek ini bagi memperbaiki aliran air dan mengatasi masalah air bertakung,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam Tahun Baharu Cina Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Cawangan Pelawan, semalam.
Menurutnya, usaha itu juga seiring dengan projek menaik taraf Jalan Ling Kai Cheng sepanjang 780 meter yang telah diluluskan dengan peruntukan RM2.5 juta.
Beliau menambah, dalam kejadian banjir baru-baru ini, air bertakung sehingga lapan hingga sembilan hari, menyebabkan kesukaran kepada penduduk terjejas.
“Masalah utama bukan sekadar paras air yang naik, tetapi tempoh air bertakung yang terlalu lama. Oleh itu, penambahbaikan sistem saliran perlu dilaksanakan segera,” katanya.
Selain Sungai Seduan, JPS turut bersetuju untuk mendalamkan Sungai Antu, yang dijangka memberi manfaat kepada kawasan berisiko banjir seperti SMK Kampung Nangka dan SJKC Guong Ann.
“Projek ini diharap dapat mengurangkan kesan banjir dan memberikan perlindungan lebih baik kepada penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang.
Oleh Tarani Lanting