
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak mengambil langkah proaktif dengan memperuntukkan RM2.3 bilion bagi memperluaskan jaringan telekomunikasi di kawasan luar bandar.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, berkata meskipun telekomunikasi di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Sarawak bertindak lebih awal melalui inisiatif tersendiri .
“Ini bagi memastikan penduduk luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan digital.
“Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah intervensi dengan membina menara telekomunikasi pintar di seluruh negeri menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).
“Sasaran kita adalah membina 618 menara di kawasan luar bandar dan setakat ini, 575 telah siap, manakala 441 sudah beroperasi,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden PBB berkata demikian ketika ditemui oleh media pada Perhimpunan Agung ke-16 parti itu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Julaihi berkata pemasangan teknologi Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) pada menara ini membolehkan pelbagai penyedia perkhidmatan seperti Maxis, CelcomDigi, U Mobile dan MySRBN beroperasi pada infrastruktur sama, sekali gus memberikan akses lebih baik kepada penduduk luar bandar.
Beliau berkata, pembangunan telekomunikasi ini adalah sebahagian daripada tujuh pemacu utama (enablers) dalam Pelan Strategik Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Transformasi digital adalah kunci utama untuk membangunkan enam sektor ekonomi yang telah disasarkan di bawah PCDS 2030.
“Untuk mencapai matlamat ini, infrastruktur digital yang mantap perlu disediakan agar masyarakat luar bandar dapat menikmati manfaat ekonomi digital serta terlibat dalam arus pembangunan negeri,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan komitmen kementeriannya untuk terus mempercepatkan pelaksanaan projek telekomunikasi bagi memastikan jurang digital antara bandar dan luar bandar dapat dikurangkan.
“Kami mahu membawa luar bandar ke arus perdana pembangunan, supaya mereka tidak ketinggalan dalam era ekonomi digital.
“Ini bukan hanya soal liputan internet, tetapi bagaimana kita memastikan mereka boleh turut serta dalam pembangunan ekonomi negeri melalui kemajuan teknologi,” katanya.
Oleh Amanda L.