
Dato Sri Lee Kim Shin membuat pemantauan bekalan LPG di Miri. Foto UKAS
MIRI: Permintaan terhadap gas petroleum cecair (LPG) di sini melonjak secara mendadak selepas kejadian banjir, menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, memaklumkan bahawa keperluan harian LPG sebelum ini adalah sekitar 2,400 silinder, namun angka itu meningkat kepada 3,038 silinder sehari selepas banjir melanda.
“Keadaan menjadi semakin tidak menentu selepas banjir, dengan peningkatan permintaan yang tidak dijangka. Ini menyebabkan pengedaran bekalan gas mengalami gangguan,” katanya dalam kenyataan media.
Bagi menampung permintaan yang meningkat, dua pengedar utama di Miri – Syarikat Pusaka Bumi dan Maju Gas Supply Sdn Bhd – telah meningkatkan penghantaran kepada 1,834 dan 1,204 silinder masing-masing sejak 13 Februari, dengan jumlah sama turut dihantar Jumaat lalu.
Sebagai langkah segera, bekalan LPG di PetrosNiaga Sdn Bhd akan dikekalkan pada kadar minimum 3,000 silinder sehari sehingga keadaan kembali stabil.
Lee turut menekankan kepentingan penyusunan semula proses pengedaran agar setiap isi rumah menerima sekurang-kurangnya satu silinder gas, yang dijangka mencukupi untuk kegunaan sebulan.
Dalam usaha mengatasi kekurangan bekalan, beliau juga telah berhubung dengan Ketua Pegawai Eksekutif Petros, Dato Janin Girie, bagi meminta penghantaran segera dari loji LPG di Kuching susulan penutupan sementara loji LPG di Bintulu akibat tanah runtuh.
Peningkatan mendadak dalam permintaan ini menunjukkan keperluan kepada perancangan lebih rapi dalam memastikan bekalan LPG yang mencukupi terutama ketika situasi bencana. – EDISI UKAS