
SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) akan berusaha dengan lebih keras untuk meningkatkan jumlah pelajar antarabangsa bermula tahun ini.
Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr. Khairuddin Ab Hamid berkata, baru-baru ini universiti itu melakukan pertukaran pelajar dari negara Brunei, Indonesia, Pakistan dan China.
“Saya mahu kalau boleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ini bukan hanya menjaga kebajikan pelajar-pelajar kita sahaja, anda harus mempelajari bagaimana untuk berurusan dengan pelajar antarabangsa.
“Bawa pelajar antarabangsa ke masuk dalam kumpulan ini dan aktiviti. Kita tak nak nanti pelajar antarabangsa merasa diri mereka tersisih atau tidak dalam komuniti kampus kita.
“Jadi akan ramai lagi yang akan datang. Kita mahu kalau boleh suasana kampus lebih bercorak antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Perlantikan dan Penghargaan MPP UTS di salah sebuah hotel terkemuka, di sini malam tadi.
Beliau merakam ucapan terima kasih kepada MPP 2024-2025 dan berharap pengalaman mereka semua selaku pemimpin pelajar sekurang-kurangnya dapat memberi memberi kebaikan kepada diri masing-masing supaya dapat dibawa nanti apabila keluar dari universiti.
“Saya pasti anda mempunyai banyak pengalaman dan ilmu dalam pengurusan,” katanya.
Beliau mengucapkan tahniah kepada MPP yang baharu 2025/2026 dan selamat datang kepada cabaran ini.
“Saya rasa sentuhan anda adalah berbeza, dengan kemasukkan lebih 400 pelajar baru-baru ini, kita punya pelajar dah hampir 5,000 orang.
“Jadi anda sekarang berbeza, kalau jaga pelajar 2,000 dan 5,000 itu berbeza banyak karenah, banyak isu dan banyak juga permintaannya.
“Justeru, anda harus berkerjasama dan juga pengurusan harus membuka pintu mereka untuk apa yang perlu dibincangkan,” kata beliau.
Pada majlis tersebut, Dr. Khairuddin turut menyaksikan Presiden MPP 2024-2025, Brandon Chong Kian Hua menyerahkan dokumen pelantikan Presiden MPP 2025-2026, Muhammad Warith.
Sementara itu, Muhammad Aqil Isyraf Ismail dilantik menyandang jawatan naib presiden, Pamela Louis setiausaha dan Chiang Chia Yang bendahari.
Exco Perhubungan Awam dan Keusahawanan Hani Nurul Azreen Sulaiman dan Arina Nabilah Abdullah, Exco Sukan, Rekreasi dan Kebudayaan Nur Syahira Ezatie Abusamah dan Brendan Tu Zu Zhen, Exco Komunikasi Korporat dan Multimedia Jason Chong Ka Seng dan Dayang Hanizzati Abang Hisham, Exco Acara dan Tugas Khas Faris Danial Chiong dan Isabelle Clarisse Bertram serta Exco Kebajikan dan Fasiliti Nurhidayah Abu dan Ling Lu Hui.
Oleh Akun Giman