

SIBU: Kemenangan mendapat tempat sebagai salah seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) PBB akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk melibatkan diri di dalam memberikan input dalam penggubalan dasar dan inisiatif untuk anak muda.
Syed Hamzah Wan Hamid Edruce berkata, ketika ini kerajaan Sarawak sudah mempunyai dasar yang cukup baik untuk pembangunan modal insan terutama dengan pelaksanaan dasar seperti pendidikan percuma untuk anak Sarawak yang bakal dilaksana tahun depan.
“Saya berpendapat sudah sampai masanya tumpuan turut diberikan untuk merangka dasar bagi membantu anak-anak muda yang baharu tamat pengajian mereka di peringkat universiti.
“Mungkin dasar mengenai bagaimana kerajaan dapat memperkasakan lagi usaha membantu usahawan muda di Sarawak terutama untuk membantu mereka bertahan untuk lima tahun pertama perniagaan,” katanya.
Beliau yang mendapat tempat ke-15 daripada 16 jawatan MT bagi sayap Bumiputera menjelaskan pembangunan usahawan merupakan salah satu aspek penting.
Katanya, ini kerana wujud dan berkembangnya perniagaan-perniagaan baharu akan menambahkan jumlah penawaran peluang pekerjaan untuk belia negeri ini.
“Sarawak menyasarkan untuk menjadi wilayah maju berpendapatan tinggi dan ke adah itu peluang pekerjaan yang menawarkan gaji tinggi perlu diwujudkan didalam jumlah yang lebih banyak secara konsisten saban tahun.
“Hanya dengan itu, kita akan secara perlahan-lahan dapat meningkatkan jumlah penduduk yang berada dalam kategori M40 dan mengurangkan jurang pendapatan antara penduduk berpendapatan rendah dan tinggi di Sarawak,” katanya.
Syed Hamzah yang juga Ketua Cawangan PBB Pelawan mahu melihat anak-anak Sarawak tidak perlu lagi berhijrah keluar untuk mencari rezeki.
Katanya, visi Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu menjadikan Sarawak sebagai ‘Bavaria’ di Malaysia atau menjadi kuasa ekonomi utama negara merupakan satu visi berani dan beliau percaya Sarawak kini berada di landasan yang tepat ke arah itu.
“Saya berharap dengan ada anak muda seperti saya berjaya dikekalkan didalam barisan MT PBB akan sentiasa menjadi sebuah parti politik yang malar segar, sentiasa mempunyai pemimpin pelapis yang mampu mengemudi Sarawak ke tahap yang diimpikan oleh pemimpin tertinggi PBB ketika ini,” kata beliau lagi.
Oleh AKUN GIMAN