
PETRA JAYA: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa tiket penerbangan syarikat penerbangan baharu negeri ini, AirBorneo, tidak akan terlalu mahal.
Premier Sarawak berkata syarikat penerbangan tersebut akan membuka laluan antarabangsa secara berperingkat seperti Jepun, Hong Kong, Indonesia dan Singapura.
“Kita memang fokus harga tiket agar jangan terlalu mahal.
“Untuk permulaan, kita akan terbang ke Kuala Lumpur, Singapura, dan Jakarta terlebih dahulu. Selepas itu, kita akan mengembangkan laluan ke Hong Kong.
“Sebelum ini, Duta Jepun pernah bertanya, mengapa tidak terbang ke Jepun. Jadi, saya berkata, ‘bila-bila masa, asalkan orang Jepun juga datang ke Sarawak.”
“Semuanya dilakukan secara berperingkat, yang bermakna kita sudah mempunyai hubungan awal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar pada majlis perasmian Perhimpunan Agung Ke-16 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Pada 12 Februari lalu, kerajaan Sarawak memeterai perjanjian jual beli dengan Malaysia Aviation Group (MAG), sekali gus memuktamadkan pengambilalihan MASwings yang kini dinamakan sebagai AirBorneo.
Menurut Abang Johari, pengambil alihan syarikat itu adalah usaha memperkukuh rangkaian penerbangan serantau dan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.
Oleh Shah Izzat dan Mohd Neenatul Aizal