



PETRA JAYA: Perkhidmatan kepada rakyat di seluruh negeri perlu ditingkatkan selari dengan perkembangan semasa yang memerlukan taraf infrastruktur yang lebih maju.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited untuk meningkatkan perkhidmatan sedia ada bagi memenuhi keperluan rakyat, terutama di kawasan luar bandar yang taraf hidupnya semakin meningkat.
Menurut Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), dengan peningkatan taraf hidup rakyat, kerajaan Sarawak harus menggandakan usaha untuk memastikan keselesaan sepenuhnya kepada penduduk negeri ini.
“Resolusi dari keempat-empat zon, iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Betong, dan Zon Selatan, semuanya meminta pembaharuan di kawasan masing-masing.
“Kalau beginilah keadaan di kawasan luar bandar, kita di dalam PBB hendaklah memperbaiki khidmat kita kepada orang kampung.
“Maka sebab itulah, bajet yang saya umumkan bagi tahun 2025 sebanyak RM15.8 bilion, dan 70 peratus daripadanya khas kepada orang kampung serta rumah-rumah panjang,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar pada majlis perasmian Perhimpunan Agung Ke-16 PBB yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Abang Johari berkata antara objektif utama perhimpunan dan mesyuarat di setiap cawangan parti adalah untuk mendengar luahan rakyat melalui kepimpinan peringkat akar umbi sebelum disalurkan kepada kepimpinan tinggi untuk tindakan selanjutnya.
“Di sini, kita akan mendengar rintihan bagaimana kita hendak memperbaiki lagi keadaan sosioekonomi di seluruh Sarawak.
“Kepimpinan di peringkat akar umbi adalah kekuatan kita, dan mereka harus dibela selari dengan dasar kita yang menekankan kelengkapan kemudahan luar bandar sejak dari awal lagi,”katanya lagi.
Menurut Abang Johari, kerajaan Sarawak mengambil inisiatif sendiri untuk membiayai sebahagian besar projek infrastruktur luar bandar, memandangkan dana dari Kerajaan Persekutuan masih tidak mencukupi dan sering mengalami kelewatan, yang akhirnya mengganggu kemajuan di kawasan berkenaan.
Oleh SHAH IZZAT dan MOHD NEENATUL AIZAL