
Bersemangat... Abang Johari bersama pimpinan tertinggi PBB dan perwakilan parti. Foto HERRIEY NAHA
PETRA JAYA: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terus memperkukuh hala tuju politik dan pembangunan Sarawak dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi serta teknologi global.
Presidennya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa konvensyen kali ini mencatat kehadiran lebih ramai ahli, termasuk sayap belia yang pertama kali menjadi pemerhati dalam perhimpunan tersebut.
Langkah ini, kata Premier Sarawak memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai perjalanan dan hala tuju parti.
“Kita telah berjaya menggembleng tenaga pemimpin lama dan baharu dalam perjuangan PBB, memastikan kesinambungan kepimpinan dan kestabilan politik yang menjadi tunjang pembangunan Sarawak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung PBB Ke-16 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Abang Johari menekankan bahawa kepimpinan Sarawak telah melalui pelbagai fasa, bermula dari era politik pembangunan di bawah Tun Jugah Barieng dan Tun Abdul Taib Mahmud, seterusnya kepada arwah Pehin Sri Adenan Satem yang mencetuskan kesedaran tentang hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Di bawah arwah Tok Nan, usaha mendapatkan kembali hak Sarawak telah dimulakan. Walaupun beliau pergi terlalu awal, saya dan pasukan meneruskan perjuangan ini, dan kita telah berjaya mendapatkan semula beberapa hak yang termaktub dalam MA63 serta Perlembagaan Malaysia melalui kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan,” jelasnya.
Mengulas mengenai ketidaktentuan politik Malaysia sejak 2018, Abang Johari berkata bahawa PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memainkan peranan penting dalam meredakan ketidakstabilan Kerajaan Persekutuan.
“Kita telah melihat perubahan Perdana Menteri dari Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan kini Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam situasi ini, GPS dan PBB telah memastikan kestabilan politik, dan hari ini Malaysia berada dalam keadaan lebih stabil di bawah Kerajaan Madani,” katanya.
Beliau juga menekankan peranan besar Sarawak dalam Kerajaan Persekutuan dengan lima menteri dan beberapa timbalan menteri, termasuk Dato Sri Fadillah Yusof, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Datuk Aaron Ago Dagang, dan Dato Sri Tiong King Sing.
Dalam sidang media itu, Abang Johari turut menekankan kepentingan pembangunan modal insan dan ekonomi berasaskan teknologi di Sarawak, termasuk sektor tenaga dan semikonduktor.
“Kita memberi latihan kepada anak Sarawak tanpa mengira latar belakang untuk menguasai teknologi dan menambah nilai sumber negeri. Dengan tumpuan kepada tenaga dan pembangunan ekonomi, kita menjangkakan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak hingga RM280 bilion,” ujarnya.
Beliau turut memberi contoh bagaimana peningkatan ekonomi Sarawak menarik kembali bakat tempatan yang sebelum ini bekerja di luar negeri.
“Contohnya, ramai jurutera dan pekerja Sarawak yang terlibat dalam industri rel bandar di Kuala Lumpur telah kembali untuk menyertai Sarawak Metro. Begitu juga dengan AirBorneo, yang menyaksikan ramai juruterbang Sarawak mahu kembali berkhidmat di negeri sendiri,” tambahnya.
Abang Johari turut menyentuh keperluan untuk memastikan PBB kekal relevan dalam menghadapi cabaran politik masa depan.
“Kita melihat contoh seperti Parti Kongres India dan Parti Demokratik Liberal (LDP) Jepun, yang walaupun bertahan lama, menghadapi defisit kepercayaan kerana perubahan dalaman.
“Di PBB, kita ada budaya politik yang kukuh antara Pesaka dan Bumiputera, yang memastikan kestabilan parti. Pemimpin muda perlu memahami budaya ini dan kepentingan kestabilan politik dalam membawa kemajuan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kepimpinan perlu bersifat kontemporari dan sentiasa relevan dengan perubahan semasa, termasuk memahami dinamika politik serantau dan global.
“Kita tidak boleh hanya melihat Sarawak atau Malaysia sahaja, tetapi juga ASEAN dan dunia. Perubahan dalam dasar perdagangan global, seperti penggunaan tarif oleh negara tertentu, boleh memberi kesan kepada ekonomi kita. Oleh itu, pemimpin kita mesti peka terhadap isu-isu global,” katanya.
Perhimpunan Agung PBB Ke-16 yang berlangsung selama dua hari ini akan mendengar maklum balas ahli parti sebelum penggulungan hala tuju PBB bagi memastikan parti terus relevan dalam menghadapi perubahan politik dan ekonomi di peringkat negeri, nasional, dan global.
Oleh SHAH IZZAT dan MOHD NEENATUL AIZAL