
Dato Sri Julaihi Narawi ketika ditemui pemberita di Perbadanan Tenaga Sejingkat (SPC), hari ini.
SEJINGKAT: Peruncit diberi amaran supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga gas petroleum cecair (LPG) secara tidak sah.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, berkata harga LPG domestik adalah RM26.60.
“Harga ini tidak boleh lebih atau kurang. Saya sudah mengarahkan Petros (Petroleum Sarawak Berhad) untuk mengambil tindakan segera terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini.
“Dalam keadaan bencana alam, semua pihak mesti bekerjasama untuk menyelesaikan masalah, bukannya mengambil peluang untuk keuntungan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Perbadanan Tenaga Sejingkat (SPC), di sini hari ini.
Julaihi juga berkata, PetrosNiaga iaitu cabang perniagaan Petros sedang mengambil langkah proaktif bagi memastikan bekalan LPG kembali stabil susulan gangguan bekalan akibat tanah runtuh di Bintulu ketika banjir besar baru-baru ini.
Katanya, insiden bencana alam tersebut mengganggu operasi kilang pembotolan LPG Pusaka Integrated Resources di Bintulu, sekali gus menyebabkan keperluan untuk mendapatkan bekalan LPG dari Senari, di sini.
“Mereka (PetrosNiaga) sedang berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan bekalan dari Senari ke Miri dan Bintulu.
“Proses ini sedang berjalan dan kami berharap semua pihak bersabar serta memahami keadaan ini,” katanya
Dalam pada itu, Julaihi menegaskan bahawa kementeriannya serta semua pihak berkepentingan memandang serius isu ini, terutama bagi memastikan bekalan mencukupi untuk pengguna domestik.
“Kami juga perlu bezakan antara gas LPG bersubsidi dan tidak bersubsidi. LPG bersubsidi adalah untuk kegunaan domestik, manakala yang tidak bersubsidi sepatutnya digunakan oleh pihak komersial.
“Petros sedang memantau perkara ini untuk mengelakkan sebarang penyalahgunaan,” katanya.
Sementara itu, Julaihi turut menyatakan bahawa PetrosNiaga meningkatkan pelaburan daripada RM50 juta kepada RM100 juta bagi menambah jumlah tong LPG baharu di pasaran.
“Sebelum ini, kita menyuntik 350,000 tong baharu, tetapi kini jumlah itu ditingkatkan kepada 690,000 tong, hampir dua kali ganda. Sekarang, terdapat 1.8 juta tong LPG dalam edaran,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal