KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Petronas Dagangan Bhd (PDB) semalam menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai inisiatif bersama untuk membangun dan meningkatkan keupayaan serta daya saing perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera khususnya yang terlibat dalam bidang automotif serta makanan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, banyak PKS tempatan yang berpotensi besar tetapi berhadapan cabaran seperti kekangan kewangan, kekurangan pensijilan dan pengetahuan perniagaan untuk bersaing dengan jenama yang lebih besar di pasaran.
Justeru itu, katanya, kerjasama selama tiga tahun tersebut bakal memberi manfaat kepada usahawan Bumiputera untuk meluaskan dan meneroka pasaran baharu melalui rangkaian Kedai Mesra Petronas dan Pusat Servis Automotif Petronas AutoExpert.
“Saya teruja dan berbesar hati dengan inisiatif PDB dan MARA dalam usaha membimbing dan membawa PKS tempatan ke satu tahap yang lebih baik yang mampu mempercepatkan pertumbuhan perniagaan mereka, terutama dalam waktu yang mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena permeteraian MoU tersebut.
MoU itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf, disaksikan Abdul Latiff dan Naib Presiden Pemasaran, Perniagaan Hilir Petronas, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir.
Abdul Latif berkata, MARA dan PDB menyasar untuk membantu usahawan memasarkan produk mereka ke lebih 750 Kedai Mesra Petronas di seluruh negara dan pemilihan produk akan dilaksanakan melalui ‘Product Pitching’ bersama panel daripada wakil PDB dan MARA bagi mengenal pasti potensi produk yang akan dipasarkan.
Menerusi kerjasama itu juga pengusaha bengkel berpeluang menyertai bengkel Petronas AutoExpert dan Auto Servis yang dibangunkan oleh Petronas Lubricant Marketing Malaysia (PLMM).
Menurutnya, bengkel automotif tempatan yang layak akan bergabung dengan rangkaian Petronas AutoExpert, dengan akses kepada sistem dan peralatan membantu memudahkan perkhidmatan lebih efisien, skema penyelesaian serba lengkap, latihan, sokongan pemasaran, program perdagangan berkesan dan khidmat perundingan bagi pengembangan perniagaan yang lebih baik pada masa depan, serta memanfaatkan Petronas sebagai jenama global terkemuka.
“Bagi memastikan usahawan Bumiputera sentiasa mampan dan berdaya saing di pasaran tempatan, MARA menyediakan fasiliti yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan seperti Program Latihan Keusahawanan, kemudahan pembiayaan perniagaan serta penyewaan lot komersial bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan syarikat,” katanya.
Setakat ini PDB mempunyai lebih 350 vendor PKS tempatan yang menyediakan pelbagai jenis produk di Kedai Mesra Petronas di seluruh negara.
Sementara itu, Syed Zainal berkata, Petronas sentiasa menyokong usaha untuk mempromosikan perniagaan tempatan dan mengukuhkan ekonomi domestik.
Menurutnya, inisiatif ini selaras dengan agenda pertumbuhan strategik PDB untuk mengembangkan perniagaan bukan bahan bakar, meningkatkan kesedaran, penerimaan barang dan kemampuan tempatan yang berkualiti. – Bernama