
Abang Johari ketika bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian jual beli MASwings, di Kuching hari ini. Foto UKAS
KUCHING: Syarikat penerbangan AirBorneo, yang dijangka beroperasi dalam tempoh 18 bulan selepas peralihan dari MASwings, akan memulakan operasi ke destinasi serantau.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata ia akan memulakan operasi dengan penerbangan ke Kuala Lumpur, Kuching, dan Singapura sebelum memperluaskan laluan ke Jakarta.
“Langkah ini bertujuan menarik lebih ramai pelancong serta memperkukuhkan hubungan perniagaan antara Sarawak dan destinasi serantau.
“Kita tahu ramai pelancong perubatan dari Indonesia datang ke sini, selain peningkatan pelancong dan pelabur asing ke Sarawak. Jadi, kita akan meluaskan laluan secara sistematik mengikut keperluan pasaran.
“AirBorneo dijangka beroperasi dalam tempoh 18 bulan selepas tempoh peralihan dari MASwings.
“Peralihan ini melibatkan penjenamaan semula, perubahan corak warna dan reka bentuk pesawat, serta penyusunan semula kakitangan dan aset syarikat.
“Kita telah berbincang dengan pengurusan MASwings mengenai pengambilalihan ini. Kita mahu memastikan tiada gangguan terhadap operasi sedia ada, jadi peralihan akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh setahun hingga 18 bulan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian jual beli MASwings, di sini hari ini.
Abang Johari juga berkata kerajaan Sarawak akan menjadikan model syarikat penerbangan Emirates sebagai rujukan dalam membangunkan AirBorneo.
Katanya, pengalaman beliau dalam industri penerbangan memberi pemahaman mendalam mengenai keperluan operasi sebuah syarikat penerbangan yang berdaya saing.
“Kita perlu melihat model yang berjaya, seperti Emirates, dalam memastikan AirBorneo mampu beroperasi secara sistematik dan berdaya maju.
“Industri penerbangan bukan sekadar menyediakan pesawat dan kru, tetapi merangkumi aspek kejuruteraan, latihan kakitangan, pemasaran, serta pemilihan tenaga kerja yang tepat,” katanya
Abang Johari berkata antara cabaran utama yang perlu ditangani adalah keperluan tenaga kerja mahir, khususnya juruterbang dan kru kabin, selain memastikan kecekapan operasi serta strategi perniagaan yang kukuh.
Sarawak juga katanya, bersedia mengambil tenaga kerja antarabangsa sekiranya diperlukan dalam peringkat awal penubuhan syarikat tersebut.
AirBorneo, yang bakal menggantikan MASwings, dijangka memainkan peranan penting dalam memperkasa sektor pelancongan dan ekonomi Sarawak, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai hab penerbangan utama di Borneo.
Oleh Amanda L.