
Abang Johari dan Anthony Loke (tiga kiri) menyaksikan majlis memeterai perjanjian jual beli yang ditandatangani oleh Setiausaha kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki manakala MAG diwakili oleh Pengarah Urusannya, Datuk Kapten Izham Ismail. Foto UKAS
KUCHING: Kerajaan Sarawak hari ini memeterai perjanjian jual beli dengan Malaysia Aviation Group (MAG), sekali gus memuktamadkan pengambilalihan MASwings yang kini dinamakan sebagai AirBorneo.
Pemeteraian perjanjian bagi syarikat penerbangan baharu negeri ini disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan beberapa menteri peringkat Persekutuan dan kerajaan Sarawak.
Abang Johari berkata, penubuhan syarikat penerbangan baharu, AirBorneo, susulan pengambilalihan MASwings itu adalah usaha memperkukuh rangkaian penerbangan serantau dan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.
Katanya, langkah berani ini membolehkan Sarawak mengawal dan menyesuaikan perkhidmatan udara mengikut keperluan rakyat serta ekonomi tempatan.
“Dengan mengambil alih MASwings, kita bukan sahaja mempertingkatkan kesalinghubungan, tetapi juga meletakkan Sarawak sebagai hab penerbangan Borneo dan pintu masuk ke Asean
“AirBorneo akan menjadi pemacu kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan perdagangan di rantau ini,” katanya berucap pada majlis itu.
Abang Johari berkata AirBorneo akan beroperasi sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh (FSC) dengan mengekalkan tumpuan kepada Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) serta memperkenalkan laluan antarabangsa baharu bagi memperluaskan rangkaian penerbangan Sarawak ke peringkat global.
“AirBorneo akan memastikan laluan luar bandar terus disokong dan dalam masa yang sama, kita akan mengembangkan destinasi dalam lingkungan empat jam penerbangan sebelum meluaskan operasi mengikut keperluan pasaran.
“Kita juga akan menjalin kerjasama strategik dan perkongsian kod dengan syarikat penerbangan antarabangsa termasuk Malaysia Airlines untuk meningkatkan capaian global Sarawak,” jelasnya.
Selain memperkukuh kesalinghubungan udara, AirBorneo dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang, termasuk perkhidmatan pelanggan dan kejuruteraan teknikal, sekali gus menyumbang kepada pembangunan bakat dan industri penerbangan tempatan
Oleh Amanda L.