
KUCHING: Jumlah mangsa banjir di Sarawak menurun namun Mukah dan Miri kekal sebagai kawasan paling terjejas dengan jumlah mangsa tertinggi.
Keadaan banjir di Sarawak menunjukkan trend pemulihan dengan jumlah mangsa semakin berkurangan setakat 4.00 petang tadi.
Menurut laporan terkini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, hanya 5 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi berbanding 7 PPS yang aktif pada pagi tadi.
Mukah mencatatkan 208 mangsa manakala Miri merekodkan 210 mangsa yang menunjukkan sedikit trend penurunan dari laporan pagi yang merekodkan 308 dan 210 mangsa masing-masing.
Sementara itu, Sibu dan Bintulu masih mempunyai PPS aktif, namun jumlah mereka yang terjejas terus berkurangan.
Menurut laporan JPBN Sarawak, jumlah keseluruhan mangsa menurun dari 609 pada pagi tadi kepada 421 orang setakat ini.
Dalam tempoh yang sama, jumlah keluarga yang masih berada di PPS juga berkurang daripada 193 kepada 135.
Menurut laporan JPBN Sarawak, keadaan banjir semakin pulih dengan lebih banyak PPS ditutup sepanjang hari ini.
“Tiada PPS baharu dibuka san ini menunjukkan situasi semakin stabil,” menurut kenyataan JPBN Sarawak dalam laporan tersebut.
Sementara itu, bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Betong, dan Sarikei sudah bebas daripada sebarang PPS aktif atau mangsa banjir.
Jika keadaan cuaca kekal baik, lebih banyak PPS dijangka akan ditutup dalam tempoh terdekat.
Oleh Masrin Affirah