
KABONG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam usaha menambah sebuah pejabat baharu yang dicadangkan di Daerah Kabong bagi memperluaskan mutu perkhidmatan dan penyampaian kepada masyarakat.
Pegawai Pertahanan Awam Leftenan Nur Athirah Batu berharap dengan beroperasinya pejabat APM di Kabong nanti, ia akan membolehkan pihaknya memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan menyeluruh kepada masyarakat setempat.
“Justeru, perancangan kita selepas ini untuk mewujudkan pejabat baharu APM di Kabong.
“Oleh kerana tindakan ini melibatkan keperluan bajet dari ibu pejabat, kami sedang merancang dan berusaha untuk mencari premis kerajaan atau rumah yang boleh dijadikan pejabat di Kabong, harap ada pertimbangan sewajarnya.
“Salah satu cabaran apabila kurang premis kerajaan di situ. Bagaimanapun akan tetap kita usahakan seperti mencari rumah,” katanya.
Dalam pada itu, APM Daerah Saratok telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir di Pejabat Pusat Khidmat DUN Kabong, hari ini.
Nur Athirah berkata tujuan kunjungan hormat itu bertujuan memperkenalkan APM serta meminta sokongan daripada ADUN Kabong untuk mendapatkan premis bangunan atau rumah yang boleh dijadikan pejabat pentadbiran dan pengoperasian APM di Kabong kelak.
Dalam pada itu, Chee Kadir berkata, beliau akan berusaha membantu dan gembira apabila APM akan memulakan oeprasinya di Daerah Kabong.
“Tidak dinafikan segala perkara melibatkan APM dan masyarakat sentiasa membabitkan hal berkaitan kecemasan dan bencana, namun hubungan itu menunjukkan saling kaitan dan hubungan rapat antara kedua-duanya.
“Justeru, sebaik sahaja saya mendengar APM akan beroperasi di Daerah Kabong, saya gembira mendengarnya dan akan membantu pihak mereka mendapatkan bangunan atau rumah untuk dijadikan pejabat APM di sini,” katanya.
Oleh Adi Safarman