
Pesawat ATR72-500 milik MASwings.
KUCHING: Malaysia Aviation Group (MAG) telah memeterai Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan kerajaan Sarawak, bagi pemindahan pemilikan MASwings.
MAG, syarikat induk kepada MASwings, dalam satu kenyataan berkata, langkah itu susulan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 27 Oktober 2023 bersama kerajaan Sarawak dan Hornbill Skyways.
“Pemindahan pemilikan ini dijangka akan selesai menjelang akhir tahun ini, dengan MAG bekerjasama rapat bersama semua pihak berkepentingan, termasuk pemegang saham Khazanah Nasional Bhd, untuk memastikan peralihan yang lancar dan mematuhi semua rangka kerja undang-undang dan peraturan yang relevan.
“Sepanjang tempoh peralihan ini, MASwings akan terus beroperasi seperti biasa di bawah pengawasan MAG, tanpa sebarang gangguan pada jadual penerbangan, memastikan perkhidmatan penerbangan yang tidak terganggu bagi komuniti yang bergantung padanya,” kata kenyataan itu.
Menurur MAG, ia kekal komited untuk memastikan proses pemindahan ini berjalan lancar dan menyokong pertumbuhan jangka panjang sektor penerbangan dan pelancongan negara demi kepentingan rakyat.
Selain daripada peralihan ini, MAG akan terus mengukuhkan landskap penerbangan negara melalui anak-anak syarikat penerbangannya, Malaysia Airlines, Firefly, dan Amal, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam jaringan penghubung serantau dan global.