
PETRA JAYA: Calon Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Len Talif Salleh, tidak membuat janji besar, tetapi bertekad untuk melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin jika diberi mandat.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar itu mengakui saingan kali ini menampilkan calon yang masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri.
“Pengalaman saya yang luas dalam perkhidmatan awam, terutama mengendalikan urusan di Wilayah Tengah, memberikan keupayaan untuk memahami lebih mendalam berkaitan mekanisme kerajaan dalam melaksanakan sesuatu projek.
“Saya masih berperanan dan berpotensi untuk menyumbang, mungkin sebagai Naib Presiden.
“Malah terdapat pelan jangka panjang yang disusun bagi Wilayah Tengah khusunya dalam pembangunan infrastruktur,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat PBB selepas sesi cabutan undi bagi nombor calon bagi pemilihan Naib Presiden di sini hari ini.
Len Talif Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang dan ADUN Satok, Dato Ibrahim Baki adalah pencabar baharu untuk jawatan itu.
Empat panyandang pula akan mempertahankan jawatan itu – Dato Sri Julaihi Narawi, Datuk Dr Annuar Rapaie, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Len Talif berkata selaku Pengerusi Lembaga Pembangunan Delta Rajang (RADDA), beliau mempunyai keupayaan menggunakan platform tersebut bagi mempercepatkan pelaksanaan serta perancangan projek.
“Saya menawarkan khidmat saya dalam kapasiti ini serta mempromosikan visi ini yang selari dengan sentimen beberapa wakil kita.
“Saya mungkin tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi saya akan melakukan yang terbaik selagi mampu,” katanya.
Beliau berkata walaupun terdapat di antara mereka merupakan penyandang atau ahli biasa, setiap calon memiliki kelebihan dan keupayaan tersendiri, dan sudah tentu ada juga kekurangan masing-masing.
“Kita yang bertanding perlu yakin dalam pemilihan ini dan saya juga yakin dengan kemampuan saya untuk menang.
“Namun saya juga sedar bahawa saya perlu komited dalam meyakinkan perwakilan bahawa saya juga mampu menyumbang,” jelasnya.
Berpengalaman selama 32 tahun dalam perkhidmatan kerajaan, Len Talif as percaya kemampuannya dalam memahami selok-belok proses pentadbiran, terutama dalam aspek pelaksanaan projek.
“Sebagai penjawat awam, saya memahami bagaimana sesuatu dilaksanakan, di mana kerajaan berperanan sebagai pemacu pembangunan, dan setiap proses serta prosedur yang terlibat juga perlu difahami.
“Pemilikan tanah yang mencukupi merupakan faktor utama dalam kementerian saya yang bertanggungjawab terhadap pembangunan dan pengurusan tanah.
“Dengan pengalaman luas dalam kementerian dan perkhidmatan awam, saya yakin dapat menyumbang secara signifikan, bukan sahaja kepada kawasan di bawah tanggungjawab saya, tetapi juga kepada seluruh Sarawak.
“Peranan saya bukan sekadar untuk PBB, tetapi demi kemajuan negeri secara keseluruhan,” katanya.
Oleh Masrin Affirah