
ROBAN: Penantian penduduk di Kampung Melayu Roban untuk menikmati bekalan elektrik 24 jam kini telah berakhir.
Ia telah disambut baik oleh semua pemohon projek Dana Permohonan Lewat dan Tambahan (ALAF) apabila hari ini Sarawak Energy Berhad telah memulakan pemasangan meter di rumah semua pemohon terbabit di Kampung Melayu Roban.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menyatakan rasa syukur dan terima kasih beliau kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Sarawak Energy Berhad dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam merealisasikan impian rakyat untuk menerima kemudahan bekalan elektrik 24 jam ini.
“Di Daerah Kecil Roban sebanyak tiga buah penempatan telah dilaksanakan projek ALAF yang berjumlah RM600,000.
“Beberapa lagi projek melibatkan bekalan elektrik akan dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka samada melalui Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), program transformasi luar bandar (RTP) dan juga ALAF.

“Semasa Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Betong baru-baru ini, Premier Sarawak turut mengumumkan akan menaik taraf bekalan elektrik bagi mengelakkan berlakunya gangguan bekalan elektrik (black out).
“Dan membekalkan bekalan elektrik kepada tiga fasa ke rumah-rumah panjang yang memerlukannya dan menaikkan kapasiti alatubah di beberapa tempat yang sangat memerlukannya di Bahagian Betong,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, pemohon projek ALAF di Kampung Melayu Roban turut menzahirkan ucapan jutaan terima kasih kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang telah memberikan komitmen bagi menyelesaikan masalah penduduk yang dahagakan bekalan elektrik 24 di kediaman mereka.
Oleh Adi Safarman