
KUCHING: Sarawak sedang membida untuk menjadi tuan rumah World Robot Olympiad (WRO) tahun depan, selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan negeri ini sebagai hab robotik, pendidikan STEM serta kecemerlangan teknologi di peringkat global.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn menjelaskan komitmen untuk menjadikan negeri ini sebagai pusat inovasi dan teknologi yang bukan sahaja relevan di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Katanya, pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) semakin menjadi keutamaan dalam membentuk generasi yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Kemahiran dalam sains dan teknologi bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan,” tegasnya.
Menyedari kepentingan ini, Sarawak terus memperkukuh komitmennya dalam bidang pendidikan STEM melalui pelbagai anjuran program berkaitan sains dan teknologi termasuk menganjurkan Borneo International Robot Tournament 2025 – Robomission Battle LEGO Education SPIKE Prime.
Roland menegaskan bahawa acara tersebut bukan sekadar pertandingan, tetapi juga platform untuk pelajar mengasah kreativiti, kemahiran menyelesaikan masalah serta minat dalam bidang robotik.
“Kejohanan ini bukan sekadar satu pertandingan, tetapi satu gerakan untuk memperkasakan generasi akan datang dalam bidang teknologi dan inovasi.
“Acara ini bertujuan memupuk pemikiran kritis, penyelesaian masalah secara kreatif serta semangat inovasi dalam kalangan pelajar.
“Kami juga mahu memberikan pelajar pengalaman pembelajaran secara praktikal dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Reka Bentuk dan ICT,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan perasmian Borneo International Robot Tournament 2025 – Robomission Battle LEGO Education SPIKE Prime di sini, hari ini.
Menurut beliau, kejohanan yang berlangsung dari 7 hingga 10 Mei 2025 tersebut menjadi bukti kemajuan dalam pendidikan STEM serta kerjasama global dengan sokongan penuh daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Sasbadi Learning Solution.
“Robotik bukan hanya tentang membina dan menulis kod, tetapi juga mengenai kerja berpasukan, pemikiran kreatif serta mencabar batasan yang sedia ada.
“Kami turut mengalu-alukan penyertaan dari pelbagai negara dan berharap dapat melihat lebih banyak bakat muda bersaing dan berinovasi,” ujarnya.
Sarawak menyasarkan penyertaan pasukan dari Macau, China, Taiwan, Vietnam, Rusia dan banyak lagi, dengan harapan dapat menarik lebih 10 negara dari tiga benua untuk bertanding dalam kejohanan yang dianjurkan.
Turut hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Tuan Adana Jed, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Tuan Zamzatul Akmal Hisham Ahmad, Pengetua SMK Chung Hua (CF) Miri Lai Jia Ling, Pengarah Sasbadi Learning Solutions Sdn. Bhd. Kevin Wan, ketua-ketua jabatan, dan wakil penaja.
Oleh Masrin Affirah