KUANTAN: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, berkesempatan menikmati sarapan pagi di Kuantan Pickers, sebuah kedai kopi tempatan yang terkenal di bandar ini, pagi tadi.
Ketibaan mereka disambut mesra oleh pemilik kedai, Nazrul Zubir, dan Azry Abu Bakar, serta kakitangan yang ramah.
Terletak di Jalan Besar, Pahang, kedai ini telah beroperasi sejak 2018 dan menjadi tumpuan ramai dengan hidangan seperti kacang pool, nasi lemak, nasi dagang, roti bakar, serta aneka kuih-muih tradisional.
Selain keenakan makanan, Kuantan Pickers turut dikenali kerana konsepnya yang unik dengan pelbagai koleksi barangan antik yang dipamerkan, menjadikannya lebih daripada sekadar tempat makan biasa.
Tun Wan Junaidi berharap agar para peniaga makanan dan minuman terus maju dalam bidang masing-masing serta mengekalkan kualiti hidangan, kebersihan premis, dan layanan mesra kepada pelanggan.
Sementara itu, semalam, Tun Wan Junaidi, dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah telah menghadiri majlis makan malam yang diadakan di Meranti Ballroom, Hyatt Regency Resort, sempena lawatan rasmi ke Negeri Pahang Darul Makmur.
Majlis ini turut diserikan dengan keberangkatan Ke Bawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, dan isteri, Datin Sri Diraja Burhah Mohamad, serta barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang dan ketua-ketua jabatan.
Sebagai simbolik keindahan warisan negeri, majlis ini turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian oleh artis Budaya Kesenian Negeri Pahang.
Tun Wan Junaidi, dan Toh Puan menjunjung kasih serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ke Bawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang atas layanan penuh hormat dan penganjuran majlis yang gilang-gemilang ini.
Lawatan rasmi ini diharap dapat mengukuhkan lagi hubungan erat antara Negeri Sarawak dan Negeri Pahang, selain membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik demi manfaat bersama.
Tun Wan Junaidi, dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah pada 12.30 tengah hari, kelmarin, dalam rangka lawatan rasmi ke Negeri Pahang Darul Makmur.
Ketibaan Tun Wan Junaidi, dan rombongan disambut oleh Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, dan isteri Datin Sri Diraja Burhah Mohamad.
Turut hadir menyambut ketibaan ialah barisan pembesar negeri, antaranya Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Abdul Hamid Wan Hashim, Indera Segara Tengku Dato’ Sri Zulkifly Tengku Ahmad, Orang Kaya Indera Perba Jelai Dato’ Wan Jasmin Dato’ Wan Badiuzzaman, Dato’ Setia Penggawa Tengku Dato’ Abdul Manan Tengku Temenggong Abdul Aziz, Dato’ Setia Raja Tengku Dato’ Ibrahim @ Alam Shah Tengku Abdul Ghani, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, serta Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Dato’ Yahya, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Utama.
Lawatan rasmi ini merupakan lawatan pertama Tun Wan Junaidi ke Negeri Pahang dan akan berlangsung selama tiga hari sehingga esok.