

Oleh: Roslan Jomel
HAN KANG, penulis sensasi dari Korea Selatan, baru sahaja menerima Hadiah Nobel untuk kesusasteraan tahun 2024, memiliki sebab dan obsesi keterlibatannya dalam bidang kepengarangan secara serius. Bahkan beliau sendiri mengakui, amatlah sukar untuk menghasilkan karya-karya kreatif jika sekadar menjadi manusia normal. Normal di sini membawa maksud, manusia biasa, tipikal dan hidup seadanya sahaja. Bergumul dalam pekerjaan penulisan kreatif, tidak dapat tidak, mendorong seseorang individu itu untuk berfikir secara kreatif dan berbeza daripada perspektif umum, yang kemudiannya bersatu di atas karya seni mereka.
Dalam satu sesi soal jawab khas yang disiarkan di laman sesawang Banana Writers, ketika ditanya mengapa beliau menulis, Han Kang menyatakan bahawa menulis ialah suatu jalur kaedah menyoal. Sudah tentu, merenung tentang teka-teki kehidupan, maksudnya secara lateral. Kata Han Kang, beliau tidak menulis untuk mencari jawaban, sebaliknya untuk melengkapkan soalan atau untuk kekal dalam soalan selagi termampu. Dari suatu sudut, menulis karya kreatif boleh dibandingkan dengan mundar-mandir. Anda pergi ke hadapan dan kelak kembali lagi, sambil memikirkan soalan-soalan yang menggembirakan dan menggigilkan anda secara dalaman. Jawaban demikian kedengaran menjurus kepada tafsiran yang jauh ke dalam jiwa kemanusiaan kerana itulah seseorang pengarang berpemikiran abnormal.
Naskhah “Singgah” tulisan Abral Mukhriz secara jelasnya mengangkat masalah kebuntuan idea dan semangat untuk menghasilkan karya yang dialami oleh Hana. Halangan sedemikian, sentiasa berlaku kepada mana-mana penulis pemula. Ia hal biasa dan lambat-laun perkara seumpama itu, bukan lagi menjadi hambatan kepada setiap pengarang. Bengkel-bengkel penulisan sentiasa diadakan di sana-sini untuk mendedahkan kepada penulis tentang perspektif baharu dan pendekatan alternatif dalam penghasilan karya kreatif. Pengalaman harian yang ditempuhi, baik sebagai pengarang dan manusia serta pembacaan meluas, sekali gus menjadi penjana dalaman kepada kematangan berfikir seseorang pengarang.
Sebagai pengarang novel, Hana tidak mampu untuk menanggung beban secara sendirian. Terlalu berat dipikul bahkan seperti terperangkap dalam penjara. Ilham dan limpahan cerita yang berlegar-legar dalam dirinya, terasa sukar untuk dibentukkan menjadi sebuah karya kreatif. Krisis demikian, juga sentiasa menimpa mana-mana pengarang yang terjerat dengan gangguan kreativiti. Ia memang suatu pengalaman yang agak aneh. Andaian bahawa pekerjaan mengarang adalah mudah, sebenarnya silap. Setiap pengarang ingin lari daripada gaya penulisan konvensional. Dan itulah isu yang menjadi seksaan batin kepada mereka. Tetapi sebagai insan seni, masih ada banyak cara dan kaedah penulisan yang belum diterokai.
Memulakan penulisan kerap menjadi batu tembok yang payah untuk dipecahkan. Jadi, Hana perlukan seseorang untuk dijadikan medium meluahkan kegalauan yang mencengkam jiwanya. Sebuah tingkap untuk Hana melihat jalan keluar daripada belenggu kreativiti. Semakin kuat seseorang berusaha, maka, semakin terbukalah jalan penyelesaiannya.
Lalu, muncullah seorang bernama Aqri untuk meloloskan Hana daripada ikatan kreativiti yang merantainya selama ini. Tanpa mengenali diri masing-masing, mereka berdua seolah-olah saling memahami permasalahan yang dihadapi. Hana sudah tentu berasa lega kerana kehadiran Aqri telah mengangkatnya kembali ke permukaan setelah lemas dalam lautan ilham. Pertemuan dalam kafe yang tidak dirancang pada detik itu, menjadi titik tolak kepada inti naskhah “Singgah”.
Secara tersirat, watak Aqri dan Hana sengaja dicipta untuk menunjukkan kemelut dalaman yang ditanggung oleh pengarang ketika hendak memulai proses penulisan kaya kreatif. Sebegitu sukar dan rumitkah proses dalam menghasilkan karya? Pada zaman kini, kononnya dengan bantuan AI akan memudahkan mana-mana pengarang untuk mencari idea dan inspirasi dalam penulisan. Dari suatu sudut, ia memang membantu kepada pengarang yang ingin mencari tema, menyusun plot, memilih tema dan menambahkan lagi teknik penulisan. Namun, disebabkan penulisan itu ialah pekerjaan yang bersangkut-paut dengan emosi, pemikiran, kejiwaan dan dunia dalaman keperibadian seseorang, maka, sama ada dengan pertolongan AI atau tidak, tujuan penulisan tetap bersumber kepada fitrah manusia itu sendiri.
Di depan Aqri, lelaki yang berkarakter eksentrik itu, Hana mendedahkan bahawa dia sentiasa dibanjiri oleh pelbagai jenis idea tidak bekesudahan. Tetapi entah mengapa masih gagal untuk meletakkan idea-idea itu untuk diterapkan sebagai asas penulisannya. Aqri membalas agar Hana berhenti mencari sebaliknya membiarkan diri terapung di atas lautan idea yang mendatanginya. Sebagai pengarang, harus ada sifat dan sikap teliti dalam pemilihan idea. Membawa masuk semua idea dan ilham ke dalam sebuah naskhah, hanya menyulitkan kerja penulisan. Hal yang mustahak ialah setiap idea yang diangkat dalam naskhah, biarlah tampak jernih dan dituliskan dengan menyakinkan. Ia lebih bermakna daripada membawa tema besar tetapi gagal dituliskan dengan baik dan mantap. Tidak perlu berebut-rebut dan memaksa diri.
Berhenti mencari dan terapung? Anjuran daripada Aqri agak membingungkan, mungkin ia suatu metafora atau cuba menenangkan Hana, supaya sentiasa tenang dan tidak tergopoh-gapah ketika muncul sekian banyak ilham. Apa yang perlu dilakukan oleh Hana ialah bersabar dan biarkan ilham-ilham itu meresap ke dalam dirinya secara alamiah terlebih dahulu. Fokus dan berikan tumpuan kepada ilham-ilham yang dirasakan kuat dan menarik untuk dijadikan tema penulisan. Pertemuan dengan Aqri juga menjadikan Hana semakin keliru. Siapakah lelaki itu? Manusia atau lembaga dari alam lain? Dan mengapa dia sampai terpedaya untuk ingin tahu latar belakang lelaki itu? Benar, secara harfiahnya, persinggahan bermaksud sementara. Adakah ia sekadar ilusi atau membawa amanat tertentu? Apa kaitan hal itu kepada kehidupannya nanti?
Semenjak bertemu dengan Aqri, lapis demi lapis Hana mula menemui suatu rahsia dan cara pandang baharu dalam mengerjakan nashkhah penulisan. Dia kini menulis dengan perspektif berbeza. Setiap karya ditulis, bukan semata-mata tentang watak-watak, malahan tentang diri sendiri, tentang apa-apa yang tersembunyi dalam batinnya dan bagaimana dimensi itu menjadi lensa dalam menilai kehidupan dan senario di dunia. Aspek itu menjadi pemangkin kepada teras penulisan Hana. Hana terus bersemangat menulis dalam kafe dan sentiasa berusaha untuk menyampaikan idea-idea baharu dalam naskhah kreatifnya. Ketika ghairah mengarang, Aqri muncul secara mendadak di depan Hana dan menyerahkan buku nota yang merakam perjalanan hidupnya yang serba kelam dalam mencari diri sendiri. secara simbolik, Aqri membawa pengaruh tertentu kepada arah penulisan Hana.
Tidak penting siapakah Aqri. Apakah ia, manusia sebenar atau sekadar khayalan, Hana tetap meneruskan kerja penulisannya. Tanpa kehadiran Aqri atau tidak. Mungkin lelaki itu akan muncul kembali, di dalam kafe, di sisinya ketika duduk mengelamun dalam bilik menulis atau di tepi tasik yang sunyi pada hujung minggu. Aqri muncul dan menghilang sesuka hatinya. Tetapi Hana sebagai pengarang tetap terus berusaha mengali persoalan demi persoalan tentang pencarian dirinya dan hidup nyata yang serba menekan sebagai tulang belakang naskhahnya.
Apa yang terakam dalam naskhah “Singgah” ialah tentang cebisan pengalaman proses penulisan seseorang penulis. Masing-masing ada cara dan pendekatannya. Naik turun kerja penulisan seseorang itu selalunya diukur pada kualiti penulisan. Bukan pada jumlah karya yang dihasilkan. Ada dua buah cerita yang dihasilkan oleh Haruki Murakami yang bertolak daripada latar profesi kehidupannya sebagai seorang pemgarang. Naskhah yang dimaksudkan ialah The Kidney-Shaped Stone That Moves Every Day dan The Rise and Fall of Sharpie Cake, masing-masingnya bercerita dari sudut pandang watak seorang pengarang. Dengan kelebihan watak yang merupakan seorang pengarang, penulis naskhah mendominasi segala sikap, pandangan dan kecenderungannya ke atas naskhah. Hal itulah yang terungkap dalam naskhah “Singgah” yang bercerita tentang kepayahan dan kegetiran dunia penulisan.
Percayalah, kerja penulisan ialah suatu bidang seni yang menuntut rasa peka, keindahan, kehalusan cita rasa dan sikap yang ingin melakukan sesuatu yang mampu menukar perspektif gaya penulisan. Karya sastera yang baik datang daripada kejujuran dan mentaliti pengarang itu sendiri. Naskhah Singgah menarik dan unik kerana pengarang berhasil mencipta suatu senario tersendiri dengan menemukan watak Aqri dan Hana. Baik Hana atau Aqri, dua watak itu hadir untuk melengkapkan suasana misteri dalam kerja penulisan. Pengarang naskhah menghidupkan watak Hana, dan dalam naskhah itu sendiri, Aqri muncul dalam karya kreatif Hana sebagai gambaran jiwa dan emosi. Hal itulah yang menjadikan naskhah “Singgah” menarik.
Dipengaruhi oleh gaya penulisan sasterawan terkenal. Itu perkara biasa dan sentiasa terjadi dari semasa ke semasa. Pengarang baharu sudah tentu ingin mendapat inspirasi daripada karya-karya yang dihasilkan oleh sasterawan yang diminatinya. Teknik penulisan, gaya menyusun plot dan pendekatan dalam menjalinkan cerita menjadi perhatian setiap pengarang. Dan secara tidak sedar, pengaruh gaya penulisan yang diminatinya terkesan pada kerja penulisan sendiri. Sedikit-sebanyak pengarang mampu menganjakkan tahap penulisannya dengan menerapkan teknik penulisan dengan pendekatan kontemporer. Apa yang memikat dalam naskhah “Singgah” ialah, pengarangnya menulis dengan jelas, kemas dan terkawal. Hal itu memberi kekuatan pada corak penulisan yang menggabungkan ilusi dan dunia nyata.
Tiada sesiapa yang mampu menentukan tempoh seseorang berhasil menciptakan karya kreatif. Hal ini kerana, ia urusan kesenian dan sudah tentu melibatkan imaginasi dan kesungguhan dalam menfokus sesebuah tema. Kadang-kadang proses penulisan lancar dan mengalir deras mengikuti kehendak yang dimahukan oleh penciptanya. Setelah tema dipilih, watak ditentukan dan plot yang dirancang begitu-begini serta diperkuatkan lagi dengan teknik khas, maka, terhasillah naskhah yang selama ini berdengung dalam kepala si pengarang. Kendatipun ada yang berjaya menghasilkan naskhah dalam sekelip mata. Bergantung kepada kebolehan seseorang mencerna ilham dan meletakkannya dengan sebaik mungkin di atas naskhah. Namun karya dihasilkan secara spontan, tetap memerlukan kerja suntingan dan semakan yang memakan masa, entah sebulan atau setahun.
Daripada apa-apa yang diserlahkan dalam naskhah “Singgah”, pengarangnya memiliki bakat dan mengawal susunan bahasa dan jalan cerita dengan baik. Terbukti pada perenggan pertama hingga ke penutup kisah. Apabila pengarang memasukkan unsur halusinasi dan bertembung dengan dunia nyata, maka ia dinamakan teknik penulisan. Saya tidak cenderung mengatakan ia sebagai realisme magis, tetapi lebih kepada gaya penulis untuk menggambarkan keadaan dan simpang-siur emosi watak utama. Kemunculan Ariq yang datang dari sebalik kabut, secara kiasannya melukiskan keanehan dunia dalaman seseorang pengarang dalam melihat situasi yang dialaminya ketika menghasilkan karya. Tanpa kemunculan Aqri, maka Hana juga tidak mungkin menjelma dalam naskhah “Singgah”. Pengarang hendak memaklumkan bahawa bidang penulisan karya kreatif memang menekan kehadiran imaginasi agar jalan cerita tidak mendatar dan stereotaip. Hal itulah yang dikatakan oleh Aqri kepada Hana, bahawa kadang-kadang inspirasi ternyata datang dari dalam diri sendiri.
Sebagai kesimpulan, naskhah “Singgah” bolehlah dikatakan baik, menarik dan memiliki keunikan dalam menceritakan kebuntuan yang dialami oleh watak protagonis. Pengarang menyarankan anatomi sumber kekuatan, idea dan sudut pandang sesebuah naskhah selalu berakar dari sikap diri sendiri. Tinggal lagi bagaimana hendak mencanai bakat dan menggilap idea itu agar bergemerlap bagai berlian. Menjadi diri sendiri. Dan itulah yang dikatakan ketulusan, kemurnian dan kejujuran, keperibadian dan karakter seseorang penulis. Aspek sedemikian wujud secara organik dalam diri pengarang. Tidak boleh dibuat-buat. Jika seseorang pengarang terlalu mengikut arus penulisan orang lain, hal itu akan mengurangkan keperibadian khasnya sebagai karyawan kreatif. Maka, terciptalah karya-karya yang mungkin bagus atau lain daripada yang lain, namun tidak memiliki jati diri dan suara batin pengarang sebenarnya.
Sebagai pengarang, potensi Abral Mukhriz tidak diragui lagi, sudah pun memiliki bakat yang baik untuk berkembang. Terpampang ketenangannya dalam menyusun kata demi kata dan hasilnya sebuah cerita yang berunsur misteri tetapi disampaikan dengan jelas dan menyakinkan. Sebuah cerita yang bergolak dari dalam diri pengarang, serumit dan seaneh mana pun, akan gagal dimengerti dengan baik oleh pembaca jika dsampaikan dengan kelam-kabut dan tergesa-gesa. Sebagai contoh novel The Outsider, karangan Albert Camus. Novel itu bertema tentang permasalahan kewujudan manusia dan fungsinya sebagai anggota masyarakat. Ia sebuah tema yang berat dan mendalam, tetapi novel itu berjaya menusuk emosi dan pemikiran pembaca, kerana kejernihan penyampaian daripada pengarangnya.
Selain bakat dan ilham yang amat diperlukan oleh mana-mana pengarang, gagasan dan wacana pemikiran akan menampakkan lagi nilai tahap kecanggihan sesebuah karya itu. Dan untuk memperolehi standard demikian, bakat dan ilham hanya sekadar tenaga pendorong penulisan, tetapi gagasan, idealisme dan wacana pemikiran menjadikan sesebuah karya itu mempunyai kedudukan dan status tertentu dalam kahazanah kesusasteraan. Mahu tidak mahu, pengarang wajib untuk keluar daripada kurungan dunia dalaman mereka sendiri. Berinteraksi dengan permasalahan yang nyata di dunia sebenar akan menyumbang saranan-saranan baharu dalam kerja penulisan. Pelbagai isu dan cabaran semasa serta kesan penjajahan silam yang mampu memberikan ilham dan inspirasi kepada pengarang generasi baharu menyatakan keprihatinan mereka sebagai seorang insan.