
BINTULU: Kelemahan sistem tebatan banjir sedia ada perlu ditangani segera susulan banjir besar yang melanda Bintulu baru-baru ini, kata Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Seri Tiong King Sing.
Menurutnya, projek pendalaman dan pelebaran dasar Sungai Sebiew tidak boleh lagi ditangguhkan bagi memastikan kapasiti sungai dapat menampung peningkatan jumlah hujan.
Dalam mesyuarat khas di Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) semalam, Tiong turut mengarahkan tindakan segera bagi mempercepat proses penempatan semula penduduk setinggan di kawasan terjejas.
“Mulai hari ini, sebarang struktur baharu tanpa kelulusan di kawasan terbabit tidak akan dibenarkan, dan bangunan haram akan dirobohkan.
“Bancian isi rumah yang terlibat telah dijalankan, dan mesyuarat penyelarasan terakhir akan diadakan pada 24 Februari bagi memuktamadkan pelan penempatan semula,” katanya dalam kenyataan menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu, projek pendalaman Sungai Sebiew akan melibatkan pelebaran sehingga 100 meter dan pendalaman antara tiga hingga lima meter.
Pelan tersebut, jelasnya, telah dibincangkan sejak 2020, namun tiada tindakan diambil sehingga satu lagi banjir besar berlaku baru-baru ini.
Selain itu, beliau menggesa pihak berkuasa menilai semula keseluruhan sistem sungai dan perparitan di Bintulu bagi menampung pertumbuhan pesat bandar ini.
Antara cadangan beliau adalah pemasangan pintu air pasang surut di Sungai Kemena untuk membantu menyalurkan lebihan air ke laut.
“Kegagalan menyelia projek pembangunan dengan teliti telah menyebabkan sistem perparitan yang tidak berkesan, sekali gus memburukkan masalah banjir.
“Pemaju tidak boleh dibiarkan menutup sungai sedia ada dalam projek mereka kerana ini menghalang saliran semula jadi,” katanya.
Tiong turut memberi contoh beberapa kawasan perumahan seperti Taman Bilangan dan Taman Desa Damai yang sering mengalami banjir akibat sistem perparitan yang tidak sistematik.
Justeru, beliau menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), BDA serta pemaju untuk mengambil tindakan drastik bagi mengelakkan masalah itu berulang.
“Banjir berterusan bukan sahaja menyusahkan rakyat, tetapi juga membazirkan sumber dalam usaha pemulihan.
“Kita tidak boleh melengahkan lagi projek ini,” tegasnya.
Oleh Carolyne Utih