
Dato Sri Julaihi Narawi
KUCHING: Bekalan gas petroleum cecair (LPG) di Sarawak tidak terjejas meskipun tanah runtuh berlaku di Terminal LPG Pusaka Integrated Resources Sdn. Bhd. (PIRSB), Bintulu, baru-baru ini.
Insiden itu berlaku susulan hujan lebat berterusan yang mengakibatkan banjir terburuk dalam sejarah Bintulu.
Tanah runtuh tersebut berlaku di kawasan bukit di belakang terminal, berhampiran tangki simpanan air di bawah seliaan Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA).
Sebagai langkah keselamatan, kerja-kerja penstabilan kawasan dan pemulihan sedang giat dilaksanakan oleh PIRSB dengan kerjasama BPA.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, memberi jaminan bahawa langkah segera telah diambil untuk memastikan bekalan LPG di seluruh negeri tidak terjejas.
“Sebagai langkah proaktif, PETROSNiaga telah mengaktifkan Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) dan mengalihkan bekalan LPG dari Terminal PIRSB Bintulu ke fasiliti Senari IOT Kuching.
“Langkah ini bagi memastikan pengguna domestik dan komersial terus mendapat bekalan tanpa gangguan.
“Kami memahami kepentingan LPG dalam kehidupan harian rakyat Sarawak, dan oleh itu, kami akan terus memberikan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Julaihi berkata pihak berkuasa sedang memantau keadaan dengan rapi, dan usaha pemulihan akan diteruskan sehingga situasi kembali normal.
Sementara itu, penduduk di kawasan sekitar dinasihatkan agar terus berwaspada dan mengikuti arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.