
LIMBANG: Masyarakat berbilang kaum di Sarawak sangat istimewa kerana memiliki semangat kekitaan dan persefahaman yang perlu terus diperkukuhkan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) dan perayaan lain di Sarawak harus disuburkan selamanya supaya generasi akan datang dapat mewarisi sebuah negara dan negeri yang aman, maju dari segi sosial, politik dan juga ekonomi.
“Hanya dengan nilai kesepakatan yang tinggi antara kaum dan etnik sahaja yang dapat menyumbang kepada kemakmuran di satu-satu tempat. Itu merupakan tanggungjawab kita semua bukan hanya terletak kepada pemimpin sahaja.
“Segala masalah dan konflik harus diselesaikan dengan cara yang bijak dan berkesan supaya ia tidak berpanjangan dan menjejaskan keharmonian kita sebagai sebuah keluarga,” katanya pada majlis makan malam sempena Tahun Baharu Cina (TBC) Daerah Limbang anjuran Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Cina Daerah Limbang di Dewan Suarah Limbang malam tadi.

Seterusnya Awang Tengah mengingatkan semua agar berwaspada terhadap sebarang bentuk ekstremisme, manipulasi emosi dan naratif negatif, tetapi sebaliknya harus bekerjasama ke arah sifat empati, belas kasihan dan saling menghormati.
Pada masa yang sama beliau memberitahu banyak rancangan pembangunan mapan akan dilaksana di Limbang dan Lawas berdasarkan kekuatan yang sedia ada di dua daerah yang terletak di kedudukan strategik utara Sarawak.
Katanya, ini sejajar dengan hasrat kerajaan Sarawak untuk menjadi negeri yang bukan sahaja berpendapatan tinggi tetapi memiliki isi rumah berpendapatan besar.

“Melalui peruntukan bajet terbesar dalam sejarah Sarawak iaitu RM15.8 bilion untuk tahun ini adalah khusus bagi membangunkan pelbagai inisiatif yang telah dirancang.
“Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha untuk membawa pembangunan yang menyeluruh dan inklusif. Kita telah mencapai banyak kemajuan dalam pelbagai bidang, termasuk infrastruktur, pendidikan, dan ekonomi.
“Namun, kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan dan kerjasama daripada semua lapisan masyarakat,” tambahnya.
Beliau berkata, perkembangan pesat teknologi juga telah menjadi nadi kepada kemajuan. Revolusi teknologi seperti kecerdasan buatan, Internet of Things (IoT), dan ekonomi digital telah mengubah cara hidup, bekerja, dan berinteraksi.
“Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk sentiasa peka terhadap perubahan teknologi dan mengambil peluang yang ada. Kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan rakyat kita tidak ketinggalan dalam arus digitalisasi.
“Kita juga harus memastikan bahawa manfaat teknologi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Ini adalah tanggungjawab bersama untuk memastikan tiada siapa yang tercicir dalam era digital ini, “ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak yang juga ADUN Bukit Kota, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Temenggong Leong Boon Ming, Ketua-ketua Masyarakat Cina Limbang dan kenamaan lainnya.
Oleh Adeng Edrus