

KUCHING: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sarawak terus menunjukkan trend penurunan.
Menurut laporan Pusat Pemindahan Sementara Monsun Timur Laut (MTL) Negeri Sarawak , seramai 1,570 orang daripada 475 Ketua Isi Rumah (KIR) masih berada di 14 PPS setakat jam 8 malam ini.
Berbanding laporan jam 4 petang yang merekodkan 1,877 mangsa di 16 PPS, jumlah ini menunjukkan pengurangan sebanyak 307 orang dan dua PPS telah ditutup dalam tempoh empat jam.
Bahagian Bintulu mencatatkan penurunan ketara daripada 862 mangsa kepada 613 mangsa, manakala Sibu turut berkurang daripada 92 kepada 33 mangsa.
Mukah kini merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 603 orang, diikuti Bintulu seramai 613 orang dan Miri seramai 321 orang.
Laporan turut menyatakan jumlah mangsa terus menurun di Daerah Selangau, Bintulu, Sebauh dan Tatau, tetapi peningkatan masih direkodkan di Daerah Dalat.
Setakat ini, 69 PPS telah ditutup, sementara 14 PPS masih beroperasi bagi menempatkan mangsa yang terjejas.
Pihak berkuasa menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar terus berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.
Oleh MASRIN AFFIRAH