

TATAU: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan SMK Tatau yang dibuka sejak 29 Januari lalu masih menempatkan 248 mangsa daripada 71 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir.
Mangsa terdiri daripada penduduk Kampung Dagang, Kampung Baru, Kd Timber, Kampung Seberang Tatau dan Teluk Lubuk Sangan.
Daripada jumlah keseluruhan, seramai lapan warga emas wanita, seorang warga emas lelaki, seorang Orang Kurang Upaya (OKU) perempuan, serta kanak-kanak dan bayi seramai 113 orang yang masih berada di PPS itu.
Pihak berkuasa turut memantau keadaan dengan kehadiran anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan RELA yang bertugas di lokasi.
Menurut laporan terkini, beberapa keluarga telah mula mendaftar keluar berikutan keadaan cuaca yang semakin baik.
Namun, pemantauan rapi tetap dijalankan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan mangsa yang masih berada di PPS.
Pihak berkuasa menasihatkan penduduk agar terus berwaspada terhadap sebarang perubahan cuaca dan mendapatkan maklumat terkini daripada sumber rasmi.