
SELAMATKAN.... Anggota bomba mengeluarkan ketiga-tiga mangsa dari kenderaan yang mereka naiki terbalik di parit tepi jalan.
SIBU: Berpantang muat sebelum ajal!
Itu yang terjadi kepada tiga lelaki apabila tersepit dalam kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki dalam kemalangan kendiri di Jalan Jalan Tunku Abdul Rahman, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, ketiga-tiga mangsa yang berusia antara 20 hingga 22 tahun terselamat walaupun kenderaan mereka dalam keadaan terbalik di tepi jalan.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam kenyataan memberitahu, pihaknya menerima panggilan pada 2.25 pagi, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah digerakan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan berlaku di parit tepi jalan, kenderaan berada dalam keadaan terbalik dan terdapat tiga orang mangsa tersepit.
“Ketiga-tiga mangsa dalam keadaan sedar.
“Dua orang tersepit di bahagian hadapan dan seorang tersepit di bahagian penumpang belakang,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa berjaya dikeluarkan dan seterusnya diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan selanjutnya.
“Kesemua mangsa disahkan selamat oleh pihak hospital,” katanya.