
LAWAS: Kejadian banjir yang hampir menenggelamkan bandar Bintulu pada 28 dan 29 Januari lalu disebabkan curahan hujan yang tinggi iaitu 900 mm untuk tempoh 24 jam.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak Datu Ahmad Denney Ahmad Fauzi memberitahu faktor air pasang besar setinggi 1.6 meter turut menjadi penyumbang kepada banjir tersebut.
“Kita juga telah menutup tender bagi membangunkan Program Ramalan Amaran Banjir (PRABN) untuk Sarawak, dan diharap dapat dilaksanakan pada suku pertama tahun ini.
“Kelebihan sistem ini ialah ia mampu memberi amaran awal sekurang-kurangnya tiga jam sebelum berlaku kejadian banjir, ” katanya kepada media selepas mengiringi Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada kunjungan Tahun Baharu Cina di Lawas, sebentar tadi.
Sistem Program Ramalan Amaran Banjir (PRABN) ini akan dipasang di seluruh Sarawak khususnya di kawasan kekerapan dilanda banjir iaitu Sri Aman, Betong, Matu, Mukah, Bintulu, dan Miri.
Ahmad Denney yang baru balik dari Bintulu bersama Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki turut berkongsi maklumat terkini jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di Sarawak setakat 2.00 petang tadi.
Jelasnya, daripada 86 PPS yang beroperasi sebelum ini, 65 PPS telah ditutup, sementara itu, 21 PPS masih beroperasi.
Oleh Adeng Edrus