
KUCHING: Situasi banjir di Sarawak menunjukkan tanda-tanda pemulihan apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berkurang kepada 3,473 orang setakat 12.00 tengah hari.
Angka ini mencatatkan penurunan sebanyak 448 orang berbanding 3,921 mangsa yang direkodkan pada 8.00 pagi.
Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, penurunan jumlah mangsa ini selari dengan penutupan dua PPS, iaitu Dewan Masyarakat Daerah Pakan pada 9.00 pagi dan SK Bukit Arip Selangau pada 12.00 tengah hari.
Dengan perkembangan ini, jumlah mangsa di Sarikei kini mencatat sifar.
Sibu merekodkan pengurangan ketara apabila jumlah mangsa menurun kepada 737 orang berbanding 983 pada 8.00 pagi.
Miri turut menunjukkan trend yang sama dengan hanya 274 mangsa masih berlindung di PPS berbanding 443 sebelum ini.
Di Bintulu, jumlah mangsa kini berada pada 1,849 orang, berbanding 1,868 sebelum ini, sementara Mukah kekal mencatatkan 613 mangsa tanpa perubahan sejak pagi tadi.
Oleh Amanda L.