
KUCHING: Satelit yang dirancang kerajaan Sarawak direka bentuk menggunakan teknologi mesra alam, sekali gus mengurangkan impak pelepasan karbon serta kesan sisa buangan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini termasuk penggunaan kapal terbang khas dan platform terapung, dalam usahanya untuk menjadi hab aeroangkasa utama di rantau ini.
Katanya, kaedah pelancaran roket konvensional sering memberi kesan terhadap alam sekitar, justeru kerajaan Sarawak sedang meneliti alternatif baharu yang lebih lestari dan berimpak rendah.
“Teknologi terkini membolehkan kita melancarkan satelit tanpa menjejaskan alam sekitar.
“Salah satu pendekatan yang sedang dipertimbangkan ialah menggunakan kapal terbang khas yang direka khusus untuk melepaskan satelit ke orbit, atau platform terapung yang boleh mengurangkan pelepasan karbon serta kesan sisa buangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu 2025 anjuran Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) di sini malam tadi.
Sebelum ini, Abang Johari berkata kawasan Lundu dan Sematan dikenal pasti sebagai lokasi melancarkan satelit selepas perkara ini disahkan dalam Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Dalam ucapannya juga, Premier Sarawak berkata kelebihan kaedah itu bukan sahaja terletak pada keberkesanannya, malah ia juga menawarkan kos operasi yang lebih rendah berbanding pelancaran roket tradisional.
Katanya, Sarawak kini dalam perbincangan dengan pakar antarabangsa bagi meneroka potensi teknologi ini dan memastikan negeri ini berada di barisan hadapan dalam industri aeroangkasa.
“Saya telah meminta Tan Sri Aziz (Husain) selaku Pengerusi Kolej Universiti ICATS untuk bekerjasama dengan pakar dari Turki dan negara lain yang memiliki kepakaran dalam teknologi pelancaran satelit alternatif.
“Dengan kerjasama ini, kita dapat membangunkan penyelesaian inovatif yang selaras dengan keperluan masa depan,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Jo turut menyatakan bahawa Sarawak telah dikenal pasti oleh Kerajaan Persekutuan sebagai pusat pelancaran satelit negara.
Kedudukan strategik negeri ini di garisan khatulistiwa menjadikannya lokasi terbaik untuk pelancaran satelit kerana ia dapat mengurangkan penggunaan bahan api serta meningkatkan kecekapan operasi pelancaran.
“Dengan kelebihan geografi yang kita miliki dan pembangunan teknologi baharu ini, Sarawak bersedia menjadi hab utama pelancaran satelit, bukan sahaja untuk Malaysia tetapi juga bagi negara-negara lain di rantau ini,” tambahnya.
Selain membangunkan keupayaan dalam industri satelit, Sarawak juga komited dalam memperkukuh kepakaran tempatan dalam reka bentuk cip, yang merupakan komponen kritikal dalam pemindahan data dan operasi satelit.
“Cip ialah nadi utama kepada teknologi digital. Oleh itu, selain membangunkan infrastruktur pelancaran satelit, kita juga mahu melahirkan tenaga mahir dalam reka bentuk cip yang mampu menyokong keperluan industri ini dan menjadikan Sarawak sebagai pemain utama dalam ekosistem digital global,” tambahnya.
Beliau berkata, dengan gabungan teknologi pelancaran mesra alam dan pembangunan kepakaran dalam reka bentuk cip, Sarawak kini berada di ambang revolusi teknologi yang bukan sahaja akan melonjakkan negeri ini sebagai hab aeroangkasa dan digital, malah meletakkannya sebagai pemimpin dalam industri teknologi berimpak tinggi di peringkat antarabangsa.
Oleh Amanda L.