MIRI: Komuniti di sini disaran untuk bekerjasama membersihkan kawasan yang terjejas akibat banjir.
Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin berkata, komuniti tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Majlis Bandaraya Miri untuk membersihkan kawasan yang terjejas kerana jumlah anggota MBM terhad.
“Lebih 300 rumah di Kampung Pujut Adong dan Pujut Tanjung Batu terkesan akibat banjir, menjadikan usaha gotong-royong satu keperluan mendesak untuk memastikan kebersihan dan keselamatan penduduk terjamin.
“Kita tidak boleh bergantung kepada MBM untuk membersihkan banyak sisa dan barangan rosak bertaburan di tepi jalan dan dalam parit selepas banjir surut, sebaliknya kita turun padang bersama-sama membersihkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program Gotong-royong Bersama Perdana Komuniti, di Balairaya Kampung Pujut Sungai Adong, semalam.
Lebih 400 sukarelawan dan kakitangan dari pelbagai agensi kerajaaan menyertai gotong royong tersebut.
Sebagai langkah penyelesaian, MBM telah menyediakan tong sampah besar bagi memudahkan penduduk membuang sisa dengan lebih teratur.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu juga menegaskan bahawa usaha gotong-royong ini tidak akan terhenti di Kampung Pujut Adong dan Pujut Tanjung Batu sahaja.
Program sama akan diperluaskan ke kawasan Desa Senadin, Tudan dan Permyjaya bergantung kepada keadaan cuaca semasa.
Oleh Liong Chai Ling