
SIBU: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) akan menganjurkan lebih banyak program yang melibatkan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen di seluruh Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, sebanyak 72 Pusat Khidmat ADUN dan 22 Pusat Khidmat Ahli Parlimen akan terlibat dalam program tiga siri yang akan diadakan tahun ini.
Menurutnya, ini adalah sebagai usaha untuk menerangkan inisiatif bantuan kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“Terdapat banyak inisiatif bantuan kerajaan yang tidak diketahui oleh orang ramai. Kami juga mengakui peranan media dalam menyampaikan berita melalui laporan mereka, tetapi kadang kala apa yang dilaporkan bergantung kepada beberapa soalan daripada orang ramai. Kami tidak menyalahkan mereka kerana tidak mengetahui segala-galanya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Taklimat Pendaftaran Sarawak ID dan Permohonan Penerima SKAS Bersama Pusat Khidmat ADUN dan Parlimen di Pustaka Negeri Sarawak, Sibu, hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Permbangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee.
Mengulas lanjut, Abdullah Saidol berkata, program tersebut tidak hanya terhad kepada SKAS sahaja, malah merangkumi pelbagai kementerian di Sarawak.
Ini, katanya, yang menawarkan bantuan kerajaan seperti Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, dan sebagainya.
“Kita akan melibatkan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, dimana, Dr Annuar (timbalan menterinya, Datuk Dr Annuar Rapaee) akan menjadi penceramah tentang semua bantuan di bawah Kementerian Pendidikan.
“Kemudian dalam masa yang sama, kita akan melibatkan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, dan sebagainya,” katanya.
Katanya, mereka mahu tujuan program tersebut untuk memastikan semua pegawai yang bertugas di Pusat Khidmat ADUN dan Ahli Parlimen mendapat maklumat yang tepat tentang apa yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Contohnya Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, apakah inisiatif tentang isu internet dan elektrik di luar bandar, bantuan air dan sebagainya,” kata beliau.
Oleh Akun Giman