
KUCHING: Beberapa loji rawatan air di Sarawak, dihenti tugas hari ini berikutan peningkatan air sungai ke paras kritikal yang mengakibatkan banjir.
Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan berkata, bagi mengurangkan beban pengguna yang terjejas, penghantaran bekalan air bersih menggunakan lori tangki turut dilakukan ke kawasan-kawasan terjejas.
Katanya, antara loji rawatan air yang dihenti pengoperasian setakat ini ialah Loji Rawatan Air Sebuyau di Samarahan, Loji Rawatan Air Ulu Mukah di Sibu, Loji Rawatan Air Sg Kut dan Dalat di Mukah, dan Loji Rawatan Air Sangan, Bintulu.
“Jangkaan untuk empat loji berkenaan beroperasi semula belum dapat dipastikan buat masa ini memandangkan paras air masih lagi pada paras kritikal.
“Bagaimanapun, secara keseluruhannya, pengoperasian loji rawatan air di seluruh bahagian, beroperasi seperti biasa,” katanya menerusi satu kenyataan di platform media sosial Facebook rasmi JBALB, hari ini.
Menurutnya lagi, pihak JBALB di setiap bahagian akan terus membuat pemantauan keadaan di loji rawatan air dari semasa ke semasa.
Bagi sebarang aduan dan pertanyaan berkenaan gangguan bekalan air, pengguna boleh menghubungi Call Centre JBALB Sarawak di talian 082-262211.