SARIKEI: Sebanyak tiga kawasan rendah berisiko banjir telah dipantau oleh pihak bomba, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik berkata, rondaan pemantauan dijalankan bermula 9.39 pagi hingga 12.29 tengah hari.
“Tiga kawasan rendah berisiko banjir yang dipantau adalah Jalan Pesisiran Sungai Sarikei, Jalan Exora, dan Jalan Langsat.
“Dua orang anggota bomba bertugas menjalankan rondaan pemantauan tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, air sedang pasang semasa pemantauan dan paras air di tiga kawasan tersebut masih terkawal.
“Hujan renyai-renyai berlaku semasa pemantauan di kawasan-kawasan ini.]
“Tiada sebarang panggilan kecemasan diterima sepanjang rondaan pemantauan dijalankan,” katanya.
Oleh Earl Anek