TATAU: Penduduk Daerah Tatau menzahirkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tatau atas usaha berterusan dalam menyalurkan bantuan makanan kepada komuniti yang terjejas akibat banjir.
Misi penghantaran melibatkan jalan darat, udara dan sungai dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah Tatau, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tatau/Sebauh, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Semalam, operasi penghantaran bantuan ke kawasan pedalaman menggunakan helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya disempurnakan, dengan Nanga Takan, Ulu Anap menjadi lokasi terakhir menerima bekalan.
Ketua Kampung Edum Batok dari Long Beyak, Ulu Kakus berkata, bantuan tersebut amat bermakna bagi penduduk rumah panjangnya yang terjejas akibat banjir berulang.
“Setiap kali air surut, ia kembali naik.
“Banyak sawah padi penduduk musnah akibat banjir yang melanda,” katanya.
Turut meluahkan penghargaan, Tuai Rumah Pajih Mawang dari Sungai Belawit, Ulu Anap yang terharu melihat kesungguhan pasukan penyelamat menghulurkan bantuan dalam keadaan hujan lebat.
“Saya menyaksikan sendiri petugas bertungkus-lumus memunggah bantuan dalam hujan.
“Kami amat menghargai pengorbanan mereka dan berdoa agar usaha ini mendapat balasan baik,” katanya.
Beliau turut memaklumkan beberapa laluan ke Ulu Anap masih ditenggelami air, menyebabkan penduduk tidak dapat keluar mendapatkan bekalan makanan.
Sementara itu, Pengerusi JPBD Tatau, Calvin Ligong memaklumkan, sehingga kini, pihaknya telah menyalurkan kira-kira 43 tan bantuan makanan melalui pelbagai kaedah.
“Sebanyak 23 tan dihantar menggunakan helikopter PGU PDRM, 9.2 tan melalui jalan darat dan 11 tan menerusi sungai,” katanya.
Ujar beliau, meskipun berdepan cabaran, pihaknya komited memastikan setiap bantuan sampai kepada penduduk yang memerlukan.
Oleh Carolyne Utih