KEPUTUSAN Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk menamatkan operasi sebahagian Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) mencetuskan pelbagai reaksi, khususnya dalam konteks perancangan ekonomi dan tenaga negeri Sarawak.
Dengan status Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi dan kehadiran Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai pemain utama dalam industri tenaga negeri, kerajaan Sarawak perlu mengambil langkah proaktif dalam menangani isu ini bagi memastikan kepentingan ekonomi dan keselamatan tenaga negeri tidak terjejas.
RASIONAL PENUTUPAN SSGP OLEH PETRONAS
Petronas menegaskan bahawa keputusan penutupan SSGP dibuat selepas kajian menyeluruh, mengambil beberapa cabaran seperti risiko geobencana dan pergerakan tanah. Sejak mula beroperasi pada 2014, SSGP mengalami beberapa insiden kebocoran dan kebakaran akibat pergerakan tanah yang tidak stabil.
Kejadian paling serius berlaku pada 2022, menyebabkan kematian dan kecederaan kepada pekerja serta penduduk sekitar.
Terdapat juga isu kos operasi dan keberkesanan ekonomi. Perkara ini dapat dilihat dengan kos pembinaan melebihi RM4 bilion, pelaburan terhadap SSGP seharusnya memberikan pulangan jangka panjang.
Namun, kos penyelenggaraan yang tinggi menjadikannya kurang berdaya saing. Maka, dalam tempoh tiga tahun akan datang, rancangan nyah operasi Petronas melibatkan penutupan 153 telaga serta 37 kemudahan luar pesisir, termasuk SSGP sebagai satu-satunya kemudahan di daratan yang akan ditutup.
STRATEGI JANGKA PANJANG PETRONAS
Dari aspek strategi, Petronas kini yang memberi tumpuan kepada aset yang lebih menguntungkan dan memastikan sumber tenaga Malaysia diurus secara optimum. Langkah penutupan ini sejajar dengan perancangan mereka untuk menilai semula aset yang tidak lagi dapat memberikan pulangan optimum.
IMPLIKASI PENUTUPAN SSGP KEPADA SARAWAK
Penutupan SSGP memberi kesan besar kepada ekonomi dan tenaga negeri Sarawak. Dari segi ekonomi, penutupan ini mengakibatkan kehilangan peluang pekerjaan serta menjejaskan perniagaan yang bergantung kepada industri minyak dan gas.
Sarawak sebelum ini menjangkakan manfaat besar daripada SSGP, termasuk pembangunan ekonomi yang mampan. Namun, dengan penutupan ini, ramai pekerja tempatan dijangka kehilangan sumber pendapatan utama.
Selain itu, penutupan SSGP turut menimbulkan persoalan mengenai kesinambungan bekalan tenaga di Sarawak.
Kebergantungan kepada keputusan Petronas menunjukkan perlunya kerajaan negeri memperkukuh kawalan terhadap sumber tenaga melalui syarikat milik negeri seperti Petros.
Dengan langkah strategik, Sarawak dapat memastikan kestabilan tenaga serta mengurangkan kebergantungan kepada entiti luar dalam industri minyak dan gas.
MEMBANGUN MASA DEPAN TENAGA NEGERI
Sarawak, sebagai sebuah negeri yang kaya dengan sumber asli dan berpendapatan tinggi, mempunyai potensi besar untuk menjadi peneraju dalam sektor tenaga di Malaysia.
Dengan kehadiran Petros sebagai entiti tenaga negeri, Sarawak berpeluang untuk mengukuhkan kedudukannya dalam pengurusan sumber tenaga, memajukan teknologi baharu, dan menuntut hak kawalan lebih besar ke atas sumber aslinya.
Terdapat beberapa langkah progresif yang boleh diambiloleh kerajaan Sarawak dan Petros untuk memastikan pembangunan tenaga yang mampan dan berdaya saing.
MENINGKATKAN PERANAN PETROS
Petros perlu memainkan peranan lebih besar dalam meneroka dan mengendalikan aset tenaga di Sarawak. Sebagai entiti tempatan, Petros mempunyai kelebihan untuk memahami keperluan dan kepentingan negeri dengan lebih mendalam.
Syarikat ini boleh bekerjasama dengan pelabur luar untuk membangunkan infrastruktur tenaga baharu, seperti loji pemprosesan gas dan stesen janakuasa, yang dapat mengurangkan pergantungan kepada Petronas.
Dengan memanfaatkan kepakaran tenaga tempatan dan antarabangsa, Petros dapat memastikan operasi yang lebih cekap, selamat, dan mampan.
Selain itu, pengaruh Petros dalam industri minyak dan gas perlu diperluaskan. Ini bukan sahaja akan membantu Sarawak membangunkan polisi tenaga sendiri yang lebih selari dengan kepentingan negeri, tetapi juga memastikan bahawa lebih banyak pendapatan daripada sumber asli ini kekal di Sarawak.
Dengan mengukuhkan kedudukan Petros, Sarawak dapat mengawal sumber tenaganya dengan lebih efektif dan memaksimumkan manfaat ekonomi untuk rakyatnya.
PELABURAN DALAM TEKNOLOGI TENAGA BAHARU
Sarawak mempunyai potensi besar untuk menjadi peneraju dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui, seperti hidrogen dan tenaga solar. Pelaburan dalam teknologi baharu ini bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada saluran paip gas, tetapi juga memastikan bahawa Sarawak berada di barisan hadapan dalam peralihan global ke arah tenaga bersih.
Dengan insentif dan inisiatif kerajaan, Sarawak boleh menarik pelaburan dalam sektor tenaga lestari dan menjadi model untuk negeri-negeri lain di Malaysia.
Penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi tenaga hijau perlu dipergiatkan. Kerjasama dengan sektor swasta dan universiti tempatan boleh mempercepat inovasi dalam sektor tenaga baharu.
Misalnya, kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) atau Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Curtin mahupun Swinburne boleh menghasilkan penyelesaian teknologi yang lebih mampan dan berkesan.
Ini bukan sahaja akan mengurangkan impak penutupan SSGP, tetapi juga mewujudkan alternatif tenaga yang lebih stabil dan mesra alam.
MENUNTUT PAMPASAN, HAK KAWALAN LEBIH BESAR
Kerajaan Sarawak perlu berunding dengan Petronas untuk mendapatkan pampasan yang sewajarnya akibat kehilangan potensi ekonomi dari penutupan SSGP.
Melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Sarawak mempunyai hak untuk mendesak kawalan yang lebih besar ke atas sumber asli negeri. Ini termasuk hak autonomi yang lebih luas dalam mengawal hasil minyak dan gas, yang dapat memastikan lebih banyak pendapatan daripada sumber asli ini kembali kepada negeri.
Dengan kawalan yang lebih besar, kerajaan Sarawak boleh menggunakan peruntukan ini untuk membangunkan lebih banyak infrastruktur tenaga dan perindustrian yang memberikan faedah jangka panjang kepada rakyat.
Ini termasuk pembangunan pusat tenaga serantau yang boleh menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga utama di Malaysia Timur.
MEMBANGUNKAN INFRASTRUKTUR ALTERNATIF
Sekiranya penutupan SSGP tidak dapat dielakkan, Sarawak perlu mempertimbangkan untuk membina sistem penghantaran gas alternatif yang lebih selamat dan berkesan dan ini boleh melibatkan penggunaan teknologi gasifikasi atau pengangkutan LNG yang lebih fleksibel berbanding saluran paip tetap.
Pelaburan dalam teknologi pemampatan gas dan sistem pemprosesan mudah alih dapat memastikan bekalan tenaga kepada industri dan pengguna domestik tidak terjejas.
Selain itu, kerajaan Sarawak boleh mempercepat pembangunan hab tenaga serantau untuk menjadikan negeri ini pusat tenaga utama di Malaysia Timur. Dengan infrastruktur yang lebih baik, Sarawak bukan sahaja dapat memenuhi keperluan tenaga dalam negeri, tetapi juga mengeksport tenaga ke negeri-negeri jiran, seterusnya meningkatkan pendapatan negeri.
KESIMPULAN
Langkah-langkah progresif yang diambil oleh kerajaan Sarawak dan Petros akan menentukan masa depan tenaga negeri ini. Dengan meningkatkan peranan Petros, melabur dalam teknologi tenaga baharu, menuntut hak kawalan yang lebih besar, dan membangunkan infrastruktur alternatif, Sarawak dapat memastikan pembangunan tenaga yang mampan dan berdaya saing yang bukan sahaja akan memanfaatkan sumber asli negeri dengan lebih efektif, tetapi juga memastikan bahawa rakyat Sarawak menikmati manfaat ekonomi yang lebih besar daripada kekayaantenaga mereka.
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).