SIBU: Masalah banjir yang melanda kawasan Sentosa Salim ketika ini berpunca daripada kerja-kerja pembinaan projek tebatan banjir yang masih berjalan, dan disiapkan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng.
Katanya, kerja pembinaan yang sedang dijalankan telah menyebabkan beberapa kawasan mengalami halangan aliran air, sekali gus menyumbang kepada kejadian banjir di kawasan tersebut.
“Sentosa Salim sememangnya merupakan kawasan lembangan dengan banyak titik rendah, menjadikannya mudah terjejas oleh banjir.
“Namun, projek tebatan ini adalah langkah penting bagi mengatasi masalah tersebut dalam jangka panjang,” katanya kepada pemberita selepas melawat rumah-rumah yang terjejas di Sentosa Fasa 1 dan Fasa 2, hari ini.
Menurut Chieng, projek tebatan banjir itu dilaksanakan dalam dua fasa, dengan Fasa 1 dijangka siap pada April tahun ini.
“Sebaik Fasa 1 selesai, kerja Fasa 2 akan dimulakan. Pada masa ini, reka bentuk bagi Fasa 2 sedang disiapkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Dengan pelaksanaan kedua-dua fasa ini, diharapkan masalah banjir kilat di kawasan ini dapat dikurangkan,” katanya.
Chieng turut memaklumkan bahawa paras air di beberapa rumah masih tinggi, dengan sebahagian kawasan mencatatkan kenaikan sehingga kira-kira dua kaki.
Sehubungan itu, katanya, usaha menaik taraf infrastruktur perlu dipergiat bagi memastikan akses ke kawasan terjejas tidak terputus.
“Kami akan bekerjasama dengan agensi kerajaan lain untuk menaik taraf infrastruktur kerana aksesibiliti adalah perkara yang sangat penting.
“Esok, saya akan bertemu dengan Residen Bahagian Sibu bagi membincangkan isu mangsa banjir dengan lebih lanjut,” katanya.
Setakat ini, jelasnya, tiada penduduk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), kerana kebanyakan mereka memilih untuk tinggal di tingkat atas rumah masing-masing atau menumpang di rumah saudara-mara.
“Oleh kerana itu, ramai mangsa banjir tidak layak menerima bantuan. Namun, saya telah menghantar rayuan kepada Premier agar perkara ini dipertimbangkan secara kes demi kes,” katanya.
Oleh Tarani Lanting