BINTULU: Dalam gelap, hujan turun tanpa henti. Telefon tiada isyarat, kedai semua tutup, perut mula lapar.
Di dalam kereta, sekeluarga hanya mampu menunggu, tanpa kepastian bila semuanya akan kembali normal.
Begitulah pengalaman getir yang dialami Dungai Inyang dan keluarganya ketika menunggu di dalam kereta di lapangan terbang ketika banjir besar melanda Bintulu, baru-baru ini.
Pada 27 Januari, mereka sepatutnya pulang ke rumah panjang di Sebakong, Mukah, sebelum bertolak ke Kuching untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara.
Sebelum itu, mereka perlu pergi ke Lapangan Terbang Bintulu untuk menjemput anak perempuan mereka, Roslin Niyak, yang pulang dari Kuala Lumpur.
Namun, penerbangan yang sepatutnya tiba pada 6.00 petang dimaklumkan tergendala akibat cuaca buruk.
“Kapal terbang berlegar beberapa jam di udara sebelum terpaksa mendarat di Kuching untuk isi minyak.
“Selepas itu cuba lagi ke Bintulu, tapi hujan masih lebat. Akhirnya baru dapat pulang dan sampai (mendarat) di Bintulu pada 1.00 pagi,” kata Roslin.
Sepanjang waktu itu, keluarganya hanya menunggu di dalam kereta di lapangan terbang, tanpa makanan dan tanpa kepastian.
Ketika akhirnya mereka bersatu semula, satu lagi kejutan menanti – jalan ke kampung mereka terputus akibat banjir.
Tanpa pilihan, mereka terpaksa meneruskan perjalanan ke Kuching.
Namun, apa yang lebih menyedihkan adalah keadaan rumah mereka sebaik pulang ke Bintulu pada 2 Februari.
“Memang sudah jangka dengan kerosakan sebab ada menerima mesej dan gambar keadaan luar rumah semasa banjir yang dihantar oleh saudara-mara. Tapi apa boleh buat?
“Jadi bila kami sampai, memang banyak barang rosak dan rumah kotor penuh lumpur.
“Sampai hari ini (4 Feb) masih melakukan pembersihan. Memang letihlah dari segi fizikal dan mental,” luah Dungai.
Banjir kali ini bukan sekadar mengubah rancangan perjalanan, tetapi juga membawa kemusnahan besar kepada penduduk.
Bagi mereka yang mengalaminya, ini adalah peristiwa yang tidak akan dilupakan.
Oleh Carolyne Utih