BANJIR yang berlaku di Sarawak sekarang boleh dikatakan berlaku di banyak tempat. Dalam hal ini ramai penduduk kehilangan tempat tinggal. Oleh itu kita berharap dan berdoa agar keadaan banjir ini kembali pulih dan rakyat Sarawak dapat dilindungi daripada masalah yang berpunca daripada banjir. Rata-rata media sosial dan surat khabar tempatan memaparkan keadaan banjir yang membimbangkan di Sarawak. Ada juga yang menganggap ini sebagai satu fenomena luar biasa.
Namun, jika diteliti dari perspektif sejarah, fenomena banjir awal tahun di Sarawak bukanlah sesuatu yang luar biasa. Sebagai contoh, pada Januari 1963, banjir besar melanda Sarawak dan menjadi topik perbincangan utama ketika itu. Dalam menghadapi bencana ini, kerajaan British, dengan sokongan kerajaan Tanah Melayu, Singapura, serta badan bukan kerajaan (NGO), berusaha menyalurkan bantuan kepada rakyat Sarawak. Menariknya, banjir ini tidak hanya melanda Sarawak, tetapi juga turut menjejaskan Brunei dan Sabah. Kejadian banjir ini mendapat perhatian Pejabat Tanah Jajahan, dan segala surat menyurat serta dokumen lain telah dikumpul dalam satu fail iaitu CO 1030/1679 Sarawak Flood.
Menyeluruh
Fail tersebut menyatakan banjir yang berlaku di Sarawak bersifat menyeluruh yang bermaksud hampir semua kawasan di Sarawak mengalami masalah kenaikan air pada kadar berbeza. Banyak tempat di Sarawak telah mengalami banjir. Ada kawasan seperti di Miri mengalami tanah runtuh dan menyebabkan bandar tersebut terputus hubungan. Di Marudi, ramai penduduknya terkesan daripada banjir. Ramai penduduknya hilang tempat tinggal.
Bazar di Long Teru pula ditengelami air akibat kenaikan paras air di Sungai Tinjar. Kemusnahan haiwan ternakan dan tanaman berlaku di Mukah. Di Bahagian Pertama kenaikan air di Sungai Sarawak telah menyebabkan Siniawan dan Batu Kawa mengalami masalah banjir. Keadaan yang sama juga berlaku di Trusan dan Sundar apabila paras air meningkat dari sungai berdekatan telah membawa kesan banjir kepada kedua-dua tempat tersebut.
Terdahulu
Sebelum 1963, Sarawak dibawah pemerintahan British pernah mengalami masalah banjir besar. Ketika itu hujan yang lebat antara 6 hingga 7 Januari 1953 menyebabkan kenaikan air luar biasa di Kuching. Sepanjang tempoh tersebut, hujan yang turun sekitar 12.45 inci. Jumlah hujan yang turun itu membawa banjir di Kuching. Salah satu kesan hujan lebat ini membawa kepada jalan dari Kuching ke lapangan terbang terputus untuk beberapaj am. Keadaan lebih teruk lagi berlaku di Serian apabila pekan tersebut terputus hubungan selama dua tiga hari. Selain Serian beberapa kawasan sekitar Kuching juga mengalami masalah kenaikan air yang luar biasa. Antara pekan yang terkesan dalam banjir ini adalah Batu Kitang dan Batu Kawa. Kedua-dua pekan itu ditengelami air sedalam 10 kaki.
Kerosakan
Keadaan banjir di Siniawan, Buso dan Tondong menyebabkan banyak kerosakan berlaku. Beberapa tanaman komersial telah musnah terutama pokok lada. Haiwan ternakan juga tidak terkecuali terkesan daripada banjir tersebut. Keadaan di Siniawan dan Buso bertambah buruk apabila air mula naik sehingga 13 kaki. Kesan daripada kenaikan air ini menyebabkan beberapa kedai di pekan tersebut mengalami kerosakan. Satu kejadian tanah runtuh berlaku di Jalan Bau yang menyebabkan jalan tersebut ditutup.
Berterusan
Walaupun kejadian banjir ini bukanlah satu yang berlaku berturut-turut mengikut tahun tetapi kadar hujan yang turun mengikut tahun itu memberi petunjuk jelas tentang kemungkinan banjir yang akan berlaku. Ini kerana tahun-tahun tertentu walaupun kadar hujannya agak tinggi tetapi tidak membawa banjir atau banjir besar. Namun pada 1958 keadaan sebaliknya berlaku. Hujan berterusan di beberapa kawasan pada awal tahun tersebut menyebab beberapa kawasan di Sarawak dilanda banjir. Mukah antara kawasan terawal mengalami masalah banjir tersebut. Hujan selama tiga hari tanpa henti pada minggu kedua Januari 1963 menyebabkan Mukah diancam banjir besar. Beberapa kawasan kampung seperti Kenyana dan Skoyan di Mukah telah dinaiki air setinggi tujuh kaki.
Kerugian
Masalah banjir di Mukah ini membawa kemusnahan kepada beberapa kawasan penanaman padi sawah, simpanan sagu di kilang-kilang dan kawasan penanaman pokok lada. Haiwan ternakan tidak terkecuali daripada kesan bencana banjir tersebut. Sebanyak kira-kira 300 ekor khinzir, 50 ekor kambing dan 1,000 ekor ayam telah mati lemas kerana paras air naik mendadak. Kejadian banjir ini juga memusnahkan jambatan menghubungi Oya dan Mukah. Selain Mukah, banjir juga berlaku di Dalat. Hujan sepanjang seminggu di Dalat menyebabkan daerah itu tengelami air sedalam enam kaki. Bazar Matu pula mengalami kenaikan air setinggi empat kaki. Kesan ketara berlaku adalah penoreh getah di Matu terpaksa memberhentikan usaha menoreh getah akibat banjir. Oleh kerana air pasang besar berlaku, Jabatan Marin memberi amaran kemungkinan Kuching juga akan dilanda banjir.
Berulang
Banyak kerosakan berlaku, terutama pada jalan raya, dan terdapat beberapa kejadian tanah runtuh yang serius. Salah satu kejadian besar berlaku di Pending, apabila runtuhan itu merosakkan kemudahan minyak di kawasan tersebut, menyebabkan kebocoran minyak tanah.
Kejadian banjir pada 1958 ini bersambung pula pada 1961. Kejadian yang berlaku pada tahun tersebut akibat hujan lebat yang turun tidak henti-henti dari 11 hingga 14 Januari 1961. Kesan hujan yang tidak henti-henti dalam tempoh tersebut menyebabkan tiga inci air naik setiap hari. Sebelum air hujan ini sempat mengalir keluar, satu lagi hujan lebat turun pada 15 Januari 1961 yang merekodkan 10.77 inci naik di Kuching. Hujan lebat ini diikuti oleh fenomena air pasang besar tertinggi pada tahun tersebut, menyebabkan banjir meluas di Bahagian Pertama dan Ketiga Sarawak.
Kejadian banjir besar yang berlaku awal tahun pada zaman British tidaklah berlaku setiap tahun. Tetapi kejadian banjir di setengah tahun itu menunjukkan bahawa perlunya usaha berjaga-jaga dan siap siaga untuk mengurangkan resiko banjir.
Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)